Rabu, 4 September 2019 | 6:16pm
Seorang lelaki Islam Uighur tiba untuk bersolat di Masjid Id Kah di Kashgar di daerah Xinjiang, China. - Foto AFP

Beijing desak AS henti campur urusan dalaman China

BEIJING: China mendesak Amerika Syarikat menghentikan tindakan menggunakan isu Xinjiang sebagai cara untuk mencampuri hal ehwal dalaman negara, kata jurucakap kementerian luar.

Geng Shuang bercakap pada sidang media sebagai mengulas lanjut soalan berhubung kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo terhadap Wilayah Autonomi Xinjiang, Uighur, dengan mengatakan perwakilan China menggunakan kenyataan keras terhadap Washington.

“Kami menasihatkan Amerika Syarikat agar melucutkan benteng diri, membuang mentaliti Perang Dingin, berhenti menggunakan isu Xinjiang untuk menuding jari ke arah China, berhenti masuk campur urusan dalaman China, serta berurusan secara telus tanpa berselindung dalam perjanjian dan kerjasama bersama,” kata Shuang.

Katanya, Pompeo hanya mengulangi kisah lama untuk menyalahkan China, dan ia dinafikan secara tegas. Isu Xinjiang adalah urusan dalaman China yang tidak memerlukan campur tangan negara luar, malah China sudah mengeluarkan laporan rasmi yang menjelaskan secara terperinci berhubung program latihan pendidikan dan kemahiran vokasional Xinjiang.

Shuang berkata, kerajaan tempatan Xinjiang menubuhkan pusat latihan pendidikan dan kemahiran vokasional berlandaskan undang-undang dalam usaha untuk menyelamatkan penduduknya daripada terbabit dengan tentera pengganas dan menyertainya dengan melakukan tindakan jenayah.

Xinjiang dikatakan ketika ini menikmati keamanan sosial, momentum perkembangan positif dan kehidupan harmoni antara semua kumpulan etnik dan tidak berlaku insiden keganasan dalam tempoh tiga tahun.

Pada masa sama, langkah yang dibuat di Xinjiang adalah dalam usaha untuk memerangi pengganas dan mengekalkan kestabilan hasil kerjasama semua kumpulan etnik di Xinjiang. - Agensi

Berita Harian X