Sabtu, 7 September 2019 | 5:52pm
Beberapa polis anti rusuhan meronda di stesen kereta api bawah tanah di Hong Kong. Foto AFP

Polis anti rusuhan kawal seluruh Hong Kong

HONG KONG: Polis anti rusuhan dikerah ke seluruh bandar raya ini, hari ini, bagi menghalang rancangan tunjuk perasaan pro-demokrasi besar-besaran yang menyasar lapangan terbang.

Ia adalah yang pertama sejak pemimpin negara itu membuat pengumuman mengejutkan pada awal minggu ini.

Jutaan penyokong pro-demokrasi memenuhi jalan raya di Hong Kong sejak tiga bulan lalu, dan ia cabaran terbesar kepada pemerintahan China sejak mengambil alih pentadbiran bandar raya itu daripada Britain pada 1997.

Pada Rabu lalu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, iaitu pemimpin pro-Beijing mengejutkan pelbagai pihak, apabila mengumumkan keputusan membatalkan rang undang-undang ekstradisi, yang mencetuskan perhimpunan ganas.

Pembatalan itu adalah salah satu daripada permintaan yang dikemukakan oleh penunjuk perasaan, namun Lam dan Beijing pada awalnya enggan melayan desakan berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa forum mesej dalam talian menjadi pilihan pergerakan yang tidak mempunyai pemimpin itu, bagi menarik penunjuk perasaan menyertai protes di lapangan terbang, hari ini.

Ia turut dipenuhi dengan pelbagai cadangan mengenai cara untuk menjejaskan kelancaran perjalanan di jalan raya dan rangkaian kereta api menuju ke terminal lapangan terbang.

Polis turut meningkatkan jumlah anggotanya di terminal bas, feri dan kereta api di sekitar bandar raya ini, kebanyakan lengkap dengan pakaian serta peralatan anti rusuhan, sambil memeriksa beg milik golongan muda atau memeriksa pengenalan diri mereka.

Beberapa perkhidmatan bas dan kereta api ke lapangan terbang juga didapati mengehadkan perkhidmatan mereka, bagi mengurangkan jumlah kehadiran penunjuk perasaan di lapangan terbang.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut menasihatkan supaya tiba awal bagi memudahkan urusan masing-masing. - AFP

Berita Harian X