Ahad, 8 September 2019 | 6:25pm
PENUNJUK perasaan berarak ke konsulat Amerika Syarikat (AS) di Hong Kong, hari ini, dalam percubaan meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Beijing. - Foto AFP

Penunjuk perasaan Hong Kong minta bantuan AS

HONG KONG: Penunjuk perasaan berarak ke konsulat Amerika Syarikat (AS) di Hong Kong, hari ini, dalam percubaan meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Beijing.

Mereka menggesa AS memberi tekanan kepada Beijing supaya memenuhi tuntutan mereka dan supaya Kongres meluluskan satu rang undang-undang yang menyuarakan sokongan terhadap tunjuk perasaan.

“Lebih 1,000 penunjuk perasaan sudah ditahan. Kami tiada pilihan kecuali tunjuk perasaan, saya rasa seperti tiada harapan.

“Selain negara asing, tiada siapa yang boleh membantu,” kata penunjuk perasaan, Jenny Chan, 30.

Pihak berkuasa dan media kerajaan menggambarkan tunjuk perasaan itu sebagai pergerakan pemisah disokong ‘tangan-tangan hitam’ sambil menyuarakan kemarahan terhadap AS dan Britain.

Ada juga ahli politik AS sama ada kerajaan atau pembangkang menyokong tuntutan penunjuk perasaan, namun pentadbiran Presiden Donald Trump mengekalkan pendekatan tidak masuk campur.

Trump sebelum ini menggesa krisis politik itu diselesaikan secara aman dan menggesa China supaya tidak memperhebatkan operasi membendung protes. - AFP

Berita Harian X