Isnin, 9 September 2019 | 2:13pm

Australia sekat 8 laman web masih siar tragedi pembunuhan masjid Christchurch

SYDNEY: Kerajaan Australia bertindak mengarahkan penyedia perkhidmatan internet negara itu menyekat lapan laman web yang masih menyiarkan rakaman pembunuhan membabitkan dua masjid di New Zealand, awal tahun ini.

Seorang pelampau kulit putih yang menggunakan senjata separa automatik menyerang jemaah ketika solat Jumaat di South Island, Christchurch pada 15 Mac, membunuh 51 orang dalam tragedi tembakan rambang terburuk negara itu.

Penyerang berkenaan bertindak menyiarkan pembunuhan terbabit secara langsung di Facebook dan ia dikongsi secara meluas di seluruh dunia.

Kebanyakan laman web segera memadam kandungan video itu namun pesuruhjaya eKeselamatan Australia, Julie Inman Grant semalam berkata, lapan laman web tempatan melanggar arahannya untuk memadamkan kandungan terbabit.

Sekatan ke atas laman web itu dilakukan serentak dengan usaha menyeluruh Australia untuk mengekang perkongsian kandungan berbentuk ganas di internet.

Australia pada April lalu meluluskan rang undang-undang yang membenarkan Canberra mendenda syarikat media sosial sehingga 10 peratus daripada pendapatan global tahunan mereka dan memenjarakan eksekutif sehingga tiga tahun jika kandungan video ganas tidak dipadam.

Mengikut undang-undang itu, adalah menjadi satu kesalahan untuk mana-mana syarikat seperti Facebook Inc dan Alphabet Inc jika masih tidak memadamkan sebarang video atau foto yang memaparkan perlakuan kejam seperti pembunuhan, rogol serta penderaan. - Reuters

Berita Harian X