Selasa, 10 September 2019 | 1:12pm
Penumpang terkandas selepas kereta api dan pengendali kereta bawah tanah menggantung perkhidmatan mereka akibat taufan Faxai, di Lapangan Terbang Narita di Narita, timur Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

17,000 penumpang terkandas di Narita akibat Taufan Faxai

TOKYO : Kira-kira 17,000 penumpang terkandas semalaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kata sumber rasmi hari ini, susulan taufan Faxai yang melanda ibu negara Jepun.

Taufan berkenaan menyebabkan lebih 1,000 penerbangan terpaksa dibatalkan, manakala jalan raya dan landasan kereta api yang menuju lapangan terbang turut terjejas, membuatkan ramai penumpang tidak memiliki sebarang pilihan pengangkutan untuk ke bandar.

Jurucakap lapangan terbang, Kei Miyahara, berkata sejumlah 16,900 penumpang terkandas di lapangan terbang itu sehingga tengah malam tadi.

“Penumpang sudah mula beransur pulang ke kediaman atau destinasi masing-masing kerana operasi bas dan kereta api sudah berjalan seperti biasa,” katanya awal pagi tadi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Chiba, timur Tokyo terletak dalam jaluran Taufan Faxai, yang membawa bersama angin kencang sehingga 207 kilometer sejam.

Kereta api antara bandar melalui bandar metropolitan Tokyo tidak dibuka sehingga jam 8 pagi semalam, sementara menunggu pegawai bertugas memeriksa kerosakan yang berlaku.

Ia menyebabkan keributan luar biasa pada waktu puncak, pagi semalam ketika orang ramai berpusu-pusu menuju ke pejabat.

Bencana itu berlaku ketika Jepun sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada Ragbi Piala Dunia akhir bulan ini, di samping Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lama lagi.

Faxai juga menyebabkan jadual beberapa pasukan untuk acara Ragbi Piala Dunia berkenaan mengalami ‘gangguan’ apabila pasukan Australia terlewat tiba manakala delegasi England terkandas di lapangan terbang.

“Keadaan itu menyebabkan mereka hanya membuang masa sambil bermain kriket”, kata jurucakap Ragbi Piala Dunia. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X