Rabu, 11 September 2019 | 7:22am
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menunjukkan peta Lembah Jordan ketika menyampaikan ucapan di Ramat Gan berhampiran Tel Aviv, semalam. Foto EPA

Arab Saudi bantah hasrat Netanyahu

KAHERAH: Arab Saudi mengutuk pengumuman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengenai hasratnya untuk memperluaskan penempatan di Tebing Barat, jika beliau memenangi pilihan raya akan datang.

Malah, agensi berita SPA yang memetik Mahkamah Diraja melaporkan bahawa Arab Saudi menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas.

Justeru, Arab Saudi semalam, menggesa mesyuarat tergempar menteri luar negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), diadakan bagi membincangkan rancangan berkenaan.

Pada masa sama, Arab Saudi menganggap pengumuman itu sebagai amat berbahaya kepada rakyat Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa, sekali gus menjejaskan usaha untuk mewujudkan keamanan di rantau itu.

Sementara itu, di New York, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Netanyahu bahawa rancangannya untuk memperluaskan penempatan di Lembah Jordan, Tebing Barat, jika dipilih semula, tidak akan memberi kesan kepada undang-undang antarabangsa.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan kontroversi itu ketika berkempen menjelang pilihan raya pada 17 September ini, bahawa Israel bakal memperluaskan kawasan penempatan rakyat Israel ke seluruh Tebing Barat.

Namun, cadangan itu akan menamatkan hasrat penyelesaian dua negara bagi konflik Israel dan Palestin, yang sekian lama tertumpu kepada diplomasi antarabangsa.

“Pendirian Setiausaha Agung (PBB) mengenai isu ini adalah jelas, iaitu tindakan satu pihak tidak akan membantu proses damai.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh Israel untuk menguatkuasa undang-undang, bidang kuasa dan pentadbirannya ke atas wilayah diduduki di Tebing Barat tidak akan memberi kesan kepada undang-undang antarabangsa.

“Jika perkara ini berlaku, ia akan menjejaskan peluang untuk memulihkan rundingan, keamanan serantau dan intipati penyelesaian dua negara,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric. - Reuters/AFP

3856 dibaca
Berita Harian X