Rabu, 11 September 2019 | 12:46pm
Penduduk tempatan menggunakan lampu suluh selepas taufan Faxai mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Kisarazu, wilayah Chiba, Jepun. Foto Reuters

Dua maut akibat strok haba di Jepun

TOKYO: Dua maut akibat strok haba di Jepun, selepas hampir satu juta kediaman terputus bekalan elektrik, apabila taufan melanda Tokyo dan kawasan sekitarnya, pada Isnin lalu.

Pihak berkuasa wilayah Chiba di barat Jepun memberitahu AFP, seorang wanita berusia 93 tahun dan lelaki berusia 65 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di kediaman masing-masing semalam, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Katanya, sekurang-kurangnya 48 penduduk dihantar ke hospital selepas menunjukkan simptom strok haba semalam.

Ia berlaku ketika suhu direkodkan pada paras 35 darjah celsius, terutama di beberapa kawasan yang terputus bekalan elektrik akibat dilanda taufan Faxai pada Isnin lalu.

Tokyo Electric Co. (TEPCO) dalam satu kenyataan berkata, menjelang pagi tadi, kira-kira 456,000 kediaman masih terputus bekalan elektrik.

“Orang ramai diminta berlindung di kawasan yang sejuk dan minum air dengan banyak bagi mengelak terkena strok haba,” kata TEPCO sambil meminta maaf kepada pelanggannya akibat masalah berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan berkata, bekalan air ke 84,000 kediaman turut terputus, apabila beberapa loji pemprosesan air berdepan masalah bekalan elektrik, namun dijangka pulih secara berperingkat hari ini.

“Pihak tentera turut membantu kami menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas,” katanya. - AFP

238 dibaca
Berita Harian X