Khamis, 12 September 2019 | 11:09pm

2 polis Bangladesh paksa mangsa rogol kahwini suspek

DHAKA: Dua anggota polis Bangladesh dikenakan tindakan disiplin selepas keluarga mangsa rogol berkata wanita itu dipaksa mengahwini salah seorang perogolnya dalam balai polis, kata pegawai.

Ibu kepada tiga anak menuduh lima lelaki mengurungkan di dalam bilik dan menyerangnya secara seksual beberapa kali antara 29 dan 31 Ogos di daerah Pabna.

Namun saudara lelaki mangsa memberitahu akhbar Daily Star minggu ini bahawa pegawai di balai polis memaksa wanita itu menandatangani dokumen menceraikan suaminya dan mengahwini suspek utama.

Perkahwinan itu didakwa diadakan apabila mangsa cuba memfailkan aduan minggu lalu.

Pegawai polis, hari ini berkata perkahwinan itu sebahagian usaha mengelakkan suspek didakwa.

“Kami menggantung tugas sub-inspektor Ekmarul Haq kerana membantu perkahwinan antara mangsa dan salah seorang perogolnya, yang juga suspek utama.

“Kami juga sudah menarik balik tugas pegawai bertanggungjawab di balai polis Pabna Sadar selepas beliau membenarkan perkahwinan itu diadakan di perkarangan balai polis,” kata timbalan ketua polis Pabna, Mohammad ibne Mizan.

Polis tidak memberitahu berapa lama Haq digantung tugas dan ke mana pegawai seorang lagi dipindahkan.

Empat suspek dikaitkan dengan serangan, termasuk tiga disyaki perogol, ditahan.

Salah seorang tertuduh ialah pegawai rendah parti pemerintah Liga Awami, lapor Daily Star. — AFP

4995 dibaca
Berita Harian X