Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:46pm
Penolong Setiausaha Liga Arab, Hossam Zaki.

Liga Arab adakan mesyuarat tergempar bincang serangan Turki di Syria

KAHERAH: Liga Arab dijangka mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu ini mengenai serangan Turki terhadap tentera Kurdish di Syria.

Penolong setiausaha liga itu, Hossam Zaki berkata, ia adalah susulan permintaan daripada Mesir di mana menteri-menteri luar di rantau itu akan berkumpul di Kaherah pada 21 Oktober bagi membincangkan pencerobohan Turki ke atas wilayah Syria.

Pengumuman itu dibuat selepas Turki melancarkan serangan udara dan tembakan meriam di sepanjang sempadan dengan Syria yang sekali gus mendapat kecaman antarabangsa.

Dengan disokong militan Syria, Turki melancarkan serangan di Tal Abyad iaitu kawasan yang masih di bawah kawalan Unit Perlindungan Rakyat Syria (YPG).

Serangan dilakukan Turki susulan peralihan dasar Amerika Syarikat (AS) menyaksikan negara itu mengundurkan tentera di utara Syria, sekali gus memberikan lampu hijau Turki untuk melakukan operasi ketenteraan.

Bagaimanapun, Zaki menyifatkan serangan itu ‘tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Semalam, Liga Arab memberi amaran bahawa serangan besar-besaran itu akan membantu Daesh memperkukuhkan pasukannya semula.-AFP.

Berita Harian X