Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:22pm
Rak di sebuah pasar raya kosong apabila orang ramai membeli barang keperluan harian sebagai persiapan menjelang ketibaan taufan Hagibis di Tateyama, Chiba, Jepun. Foto Reuters

Taufan Hagibis jejas Grand Prix Suzuka, ragbi Piala Dunia

TOKYO: Jepun bersiap sedia menanti ketibaan taufan Hagibis yang dilaporkan bertiup pada kelajuan 216 kilometer sejam, ketika diramalkan melanda negara matahari terbit itu, esok.

Ketibaan taufan itu memaksa Jepun membatalkan dua perlawanan ragbi Piala Dunia, menangguhkan sesi kelayakan Grand Prix Suzuka dan mengakibatkan banyak jadual penerbangan dibatalkan.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di kawasan barat hingga timur laut negara itu, mengenai ancaman angin kencang dan laut bergelora.

“Kami menasihatkan penduduk supaya berpindah atau mengambil langkah keselamatan sewajarnya, sebelum angin kencang dan hujan lebat melanda serta sebelum malam menjelang, bagi melindungi nyawa anda dan keluarga tersayang.

“Jumlah hujan yang dicatatkan mungkin melebihi rekod sebelum ini. Keadaan kemusnahan akibat taufan juga dijangka sangat besar,” kata pegawai JMA, Yasushi Kajiwara dalam satu taklimat media.

Dalam pada itu, ribut kencang juga diramal membawa hujan setinggi setengah meter di Tokyo dalam tempoh 24 jam mulai tengah hari esok hingga Ahad, manakala 80 sentimeter hujan dijangka direkodkan di wilayah tengah Tokai.

JMA turut mengingatkan kenaikan paras air laut boleh menenggelamkan kediaman dan kemudahan berhampiran pantai, ketika ribut semakin menghampiri, berikutan fenomena air pasang besar.

Sementara itu, penganjur Grand Prix Jepun di Suzuka mengumumkan pembatalan semua program yang bakal diadakan esok, hingga memaksa sesi kelayakan ditangguhkan ke Ahad.

“FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan Formula Satu menyokong keputusan ini bagi kepentingan pengunjung, peserta dan orang ramai yang berada di litar Suzuka,” kata FIA dalam satu kenyataan.

Selain itu, taufan berkenaan turut memaksa penganjur ragbi Piala Dunia membatalkan dua perlawanan yang dijadualkan berlangsung esok, membabitkan pasukan England-France di Yokohama dan New Zealand-Itali di Bandar Toyota.

Menurut penganjur, walaupun amat sukar, keputusan itu terpaksa diambil selepas mengambil kira aspek keselamatan, tetapi Itali yang dianggap masih berpeluang meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir, berang dengan pengumuman itu. - AFP

Berita Harian X