Sabtu, 12 Oktober 2019 | 1:23pm
Taufan Hagibis melanda Jepun dan dijangka membawa hujan yang memecah rekod dan angin kuat. - Foto AFP

Taufan Hagibis ragut mangsa pertama

TOKYO: Sekurang-kurangnya seorang maut sebaik saja taufan Hagibis melanda Jepun hari ini, dijangka membawa hujan yang memecah rekod dan angin kuat memaksa arahan berpindah dikeluarkan kepada lebih 1.6 juta penduduk.

Dikategorikan sebagai ‘besar’ dan ‘sangat kuat’, taufan itu juga menyebabkan pembatalan perlawanan Piala Dunia Ragbi, menjejaskan Grand Prix Jepun dan menyebabkan 1,600 penerbangan dibatalkan.

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan, taufan itu diramalkan melanda kawasan tengah atau timur Jepun awal petang hari ini, membawa bersama angin selaju 216 kilometer sejam.

Bagaimanapun, sebelum taufan tiba, kumpulan luar mendakwa mangsa pertama meninggal dunia di China, timur Tokyo, yang turut dilanda badai hebat bulan lalu.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun ditemui dalam trak mini yang terperosok. Dia dihantar ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia,” kata jurucakap Jabatan Bomba Ichihara, Hiroki Yashiro kepada AFP.

Menurut laporan media tempatan, Hagibis diramalkan sebagai taufan pertama yang dikategorikan sebagai ‘sangat kuat’ melanda pulau utama Honshu sejak 1991, ketika sistem kategori diperkenalkan.

Menjelang tengah hari, kira-kira 1.64 juta orang di kawasan terjejas berada di bawah perintah berpindah bukan mandatori, dengan pihak berkuasa mendesak warga tua dan mereka yang mempunyai anak untuk dipindahkan lebih awal. - AFP

Berita Harian X