Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:18pm
PENDUDUK melihat keadaan rumah yang musnah selepas dilanda taufan Hagibis di Nagano. - Foto AFP

Jepun sedia RM27.26 juta bantu mangsa taufan Hagibis

TOKYO: Kerajaan Jepun bakal menyediakan peruntukan jutaan dolar untuk membantu kawasan terjejas disebabkan Taufan Hagibis, yang mengorbankan lebih 70 orang di seluruh negara itu.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, kerajaannya menawarkan 710 juta yen (RM27.26 juta) untuk membantu kawasan yang terjejas disebabkan taufan itu.

Katanya, dana itu adalah sebahagian daripada simpanan kecemasan yang berjumlah 500 bilion yen (RM19.28 bilion).

Tokyo juga akan mempercepatkan pengeluaran bantuan kepada lebih daripada 300 majlis yang dilanda bencana.

“Kerajaan akan bersama menyelesaikan masalah untuk membantu mangsa, mereka juga akan kembali kepada kehidupan biasa secepat yang mungkin,” kata Abe.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga memberitahu wartawan, sehingga pagi ini, lebih daripada 10,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik, sementara lebih 110,000 isu rumah masih tidak mendapat bekalan air.

“Hari ini juga, petugas penyelamat melakukan yang terbaik dalam tugasan mencari dan menyelamat. Disebabkan hujan lebat, paras air sungai naik dan terdapat beberapa kawasan tanah menjadi lumpur. Kami meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada kemungkinan berlaku tanah runtuh dan banjir,” katanya.

Taufan Hagibis melanda Jepun pada Sabtu lalu, membawa angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan puluhan air sungai melimpah.

Menjelang tengah hari ini, kerajaan mengesahkan jumlah kematian disebabkan bencana itu meningkat kepada 74 orang, dengan puluhan yang lain masih hilang. - AFP

Berita Harian X