Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:42am
CHAN Tong-kai (tengah) . - Foto Reuters

HK, Taiwan berbalah, suspek bunuh bebas

HONG KONG: Suspek kes bunuh, yang mencetuskan bantahan besar-besaran di Hong Kong, dibebaskan dari penjara hari ini ketika kerajaan berbalah dengan Taiwan, lokasi dia dituduh membunuh teman wanitanya, berhubung cara mengendalikan penyerahan diri sukarela yang dijanjikan.

Chan Tong-kai, rakyat Hong Kong, dituduh membunuh teman wanitanya di Taiwan tahun lalu sebelum melarikan diri ke hab kewangan itu semula.

Chan, yang memakai baju biru gelap dan membawa beg sandang merah, tunduk dan meminta maaf kepada keluarga bekas teman wanitanya dan orang awam sebaik meninggalkan penjara di daerah Sai Kung di Hong Kong selepas menjalani hukuman penjara 29 bulan kerana kesalahan pengubahan wang haram.

Katanya, dia melakukan kesilapan yang tidak dapat dimaafkan.

Chan juga berkata akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Taiwan tetapi enggan menyebut bila.

Ketika Chan menyerah diri secara sukarela, Hong Kong dan Taiwan berbalah berhubung langkah seterusnya.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, mengambil kes Chan sebagai contoh mengapa rang ekstradisi diperlukan.

Rang itu membolehkan suspek dihantar dari Hong Kong ke China, termasuk tanah besar, Taiwan dan Macau.

Pihak berkuasa Hong Kong berkata hari ini, Chan bebas pergi ke Taiwan dan menyerah diri.

Bagaimanapun, Majlis Hal Ehwal Tanah Besar di Taiwan, berkata dalam kenyataan ‘sukar mempercayai’ Chan menaiki sendiri pesawat ke Taiwan, mengabaikan keselamatan penumpang lain dalam pesawat sama dalam usaha menjayakan pengurusan politik penyerahan diri. — Reuters

Berita Harian X