Ahad, 27 Oktober 2019 | 12:22pm
IVAN Milat ketika kes perbicaraannya di Sydney pada 8 Julai 1996. - Foto Reuters

Pembunuh kejam Australia meninggal dunia

SYDNEY: Pembunuh bersiri paling kejam Australia, Ivan Milat yang membunuh tujuh pengembara sekitar 1990an, meninggal dunia di hospital hari ini.

Milat menjalani hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut atas pembunuhan kejam yang dilakukan di Sydney, antara 1989 dan 1992.

Jurucakap Pusat Pemulihan New South Wales dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 74 tahun itu meninggal dunia pada jam 4.07 pagi (waktu tempatan) di Hospital Long Bay, hari ini.

Menurut stesen penyiaran rasmi ABC, dia disahkan mengalami kanser perut dan usus pada Mei lalu, serta dimasukkan ke hospital sejak 11 Oktober.

Kesemua tujuh mangsa pembunuhan itu disahkan sebagai dua rakyat Britain, Caroline Clarke, 21, dan Joanne Walters, 22, dua rakyat tempatan, James Gibson serta Deborah Everist, kedua-duanya berusia 19 tahun, selain tiga pengembara Jerman dikenali sebagai Simone Schmidl, 21, Anja Habschied, 20, dan Gabor Neugebauer, 21.

Dalam setiap kes, Milat menawarkan untuk menumpangkan mangsa, sebelum menikam atau menembak mereka, dan menanam mayat itu di dalam hutan di kawasan tanah tinggi New South Wales.

Dia ditahan pada 1994 susulan siasatan pihak polis, yang dicetuskan oleh penemuan beberapa mayat pada 1992 dan 1993.

Pembunuh kejam itu disabitkan dengan kesalahan membunuh, selain kesalahan menculik seorang lagi pengembara yang berjaya melepaskan diri.

Milat juga adalah suspek utama pembunuhan tiga wanita yang dilaporkan hilang di negeri Hunter, 10 tahun sebelum siri pembunuhan kejam itu bermula.

Leanne Beth Goodall, Robyn Elizabeth Hickie serta Amanda Therese Robinson dilaporkan hilang pada 1978 dan 1979.

Mayat ketiga-tiga wanita itu tidak pernah ditemui hingga hari ini.

Milat mengaku bekerja sebagai penjaga malam di sekitar lokasi kejadian pada 1970-an namun menafikan terbabit dalam pembunuhan mereka. - AFP

Berita Harian X