Isnin, 4 November 2019 | 1:58pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika ditemui di sidang kemuncak gara (ASEAN) di Bangkok. - Foto Reuters
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika ditemui di sidang kemuncak gara (ASEAN) di Bangkok. - Foto Reuters

Jae-in, Abe setuju anjur dialog selesai pertikaian

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini mencadangkan satu dialog peringkat tertinggi diadakan bagi menyelesaikan pertikaian politik dan perdagangan dengan Jepun yang semakin meruncing, katanya ketika bertemu Perdana Menteri Shinzo Abe.

Pemimpin dua negara bertelagah itu mengadakan perbincangan ringkas di luar sidang kemuncak negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Bangkok, kata jurucakap Jae-in, Ko Min-jung, dalam satu kenyataan.

“Presiden Jae-in menawarkan perbincangan di peringkat tertinggi jika perlu dan Perdana Menteri Abe mencadangkan pencarian resolusi dari pelbagai cara yang munasabah,” kata Ming-jung.

Pertemuan ringkas itu dibuat susulan hubungan dua hala yang semakin meruncing selepas mahkamah tertinggi Korea Selatan mengarahkan firma Jepun untuk membayar pampasan kepada sejumlah buruh paksa zaman perang.

Jae-in turut menghantar Perdana Menteri Lee Nak-yon ke Tokyo bulan lalu bagi menghadiri upacara pertabalan Maharaja Naruhito bersama sepucuk surat yang menyeru ke arah memperbaiki hubungan diplomatik.

Namun, jalan ke arah persefahaman masih suram dengan Abe menegaskan bahawa isu buruh paksa zaman perang sudah diselesaikan menerusi perjanjian 1965. - Reuters

Berita Harian X