Isnin, 4 November 2019 | 11:01pm
Iran membalas tindakan sekatan AS dengan meningkatkan pengeluaran uraniumnya untuk bahan api nuklear. -Foto AFP
Iran membalas tindakan sekatan AS dengan meningkatkan pengeluaran uraniumnya untuk bahan api nuklear. -Foto AFP

Iran umum peningkatan pengeluaran uranium 10 kali ganda

TEHRAN: Iran hari ini mengumumkan peningkatan lebih 10 kali ganda pengeluaran uranium diperkayakan susulan siri kegagalan perjanjian nuklear 2015 yang dipinggirkan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Ali Akbar Salehi juga berkata, Iran membangunkan dua pengempar baharu lebih canggih, satu daripadanya sedang menjalani ujian.

Salehi memberitahu saluran televesiyen tempatan di kemudahan Natanz di tengah Iran, pengeluaran uranium diperkayakan negara itu juga sudah mencapai lima kilogram sehari.

Jumlah itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan paras 450 gram dua bulan lalu apabila ia mengabaikan komitmen dibuat mengikut perjanjian nuklear bersejarah 2015.

Mei lalu, Tehran memutuskan untuk menggantung komitmen tertentu mengikut perjanjian terbabit, setahun selepas Presiden AS Donald Trump menarik diri dan melaksanakan semula sekatan terhadap republik Islam itu.

Setakat ini, Iran membalas sekatan itu dengan tiga pakej langkah balas dan mengancam tindakan selanjutnya jika rakan kongsi perjanjian iaitu Britain, China, Perancis, Jerman dan Russia gagal membantu mengelak sekatan AS.

Pada 1 Julai lalu, Iran berkata, ia menambah simpanan pengayaan uranium jauh melebihi paras maksimum 300 kilogram ditetapkan dalam perjanjian dan seminggu kemudian, mengumumkan ia melepasi paras 3.67 peratus keaslian simpanan uraniumnya.

Ia menghidupkan pengempar canggih bagi meningkatkan simpanan pengayaan uranium pada 7 September lalu.

“Jurutera Iran berjaya membangunkan sebuah prototaip IR-9, iaitu mesin terbaharu kami dan juga model sebuah mesin baharu digelar IR-s, semua ini dalam tempoh dua bulan,” kata Salehi.

Katanya, Iran sudah mengeluarkan kesemua pengempar IR-1 yang diluluskan dalam perjanjian nuklear dan hanya menggunakan mesin canggih, menjurus kepada peningkatan mendadak pengeluaran pengayaan uraniumnya. -AFP

Berita Harian X