Jumaat, 8 November 2019 | 2:22pm

Terkini : 5 maut, 120 cedera gempa bumi di Iran

TEHRAN : Gempa bumi yang melanda barat laut Iran awal pagi tadi meragut lima nyawa dan mencederakan 120 lagi setakat ini.

Gempa berukuran 5.9 itu berlaku kira-kira 120 kilometer di tenggara bandar Tabriz, di wilayah Azerbaijan Timur awal pagi tadi, kata Pusat Seismologi Iran.

Digambarkan sebagai sederhana, gempa itu disahkan memiliki kedalaman lapan kilometer dan ia diikuti lima gegaran susulan.

Gabenor wilayah, Mohammad-Reza Pourmohammadi memberitahu media tempatan bahawa sekurang-kurangnya 30 buah rumah musnah dalam insiden itu.

IOperasi menyelamat turut dilakukan di 41 perkampungan luar bandar namun kerosakan besar hanya berlaku di dua lokasi.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengeluarkan amaran berhubung jangkaan jumlah kemalangan jiwa yang agak besar dan bencana berkenaan berkemungkinan akan merebak ke kawasan lain.

Iran terletak di antara pertemuan dua piring tektonik dan sering mengalami aktiviti seismik.

Negara itu dilanda beberapa bencana utama sejak beberapa dekad lalu termasuk di bandar purba Bam, yang dilanda gempa bumi besar pada 2013 sehingga mengorbankan 31,000 penduduk.

Pada 1990, satu gempa bumi berukuran 7.4 melanda utara Iran dan meragut 40,000 nyawa, mencederakan 300,000 yang lain, memusnahkan sebahagian besar bandar serta 2,000 perkampungan.

Iran juga berdepan dua gempa bumi besar beberapa tahun kebelakangan ini iaitu pada 2005 yang meragut lebih 800 nyawa serta pada 2012, mengorbankan kira-kira 300 orang. - AFP

Berita Harian X