Isnin, 25 November 2019 | 2:41pm
Carrie Lam membuang undi dalam pilihan raya Majlis Daerah di Hong Kong, semalam. Ketua Eksekutif Hong Kong itu berkata, pihaknya berikrar mendengar dengan rendah hati suara rakyat susulan kemenangan anggota Demokrat dalam undian itu. -Foto EPA

Pemimpin Hong Kong ikrar 'dengar' suara rakyat

HONG KONG: Pemimpin tidak popular Hong Kong, Carrie Lam berkata hari ini, kerajaan akan ‘mendengar dengan rendah hati’ suara rakyat selepas mengalami halangan memalukan terhadap pimpinan disokong China yang diketuainya.

“Kerajaan sudah pasti mendengar dengan rendah hati pendapat rakyat dan memikirkannya dengan serius,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan kerajaan.

Kem prodemokrasi bandaraya ini memperoleh kejayaan cemerlang dalam pilihan raya peringkat majlis diadakan semalam, keputusan yang menjelaskan tahap sokongan awam terhadap tuntutan pergerakan protes yang menukar wilayah itu kepada huru-hara.

Dalam kekalahan yang mengejutkan wilayah semi-autonomi China itu, calon yang menyokong demokrasi lebih besar merampas majoriti daripada 452 kerusi di 18 majlis daerah. Majlis itu biasanya dikuasai individu pro-Beijing.

Pergerakan bantahan menyatakan beberapa tuntutan utama termasuk pilihan raya langsung dan siasatan terhadap dakwaan kekejaman polis yang mana keputusan itu mungkin membawa tekanan baharu supaya Lam bertemu mereka.

Lam sebelum ini menolak tuntutan itu sebagai ‘angan-angan’ dan berulang kali menyatakan bahawa undian itu perlu menunjukkan penduduk Hong Kong menyokong pentadbiran beliau dan menamatkan protes.

“Kerajaan menghormati keputusan pilihan raya,” katanya sambil mengakui keputusan itu mencetuskan perbincangan hakikat bahawa ‘rakyat tidak puas hati dengan situasi sosial terkini dan masalah dalaman,’ tanpa menyatakan secara lanjut.

Huru-hara meletus awal tahun ini apabila kerajaan Lam memperkenalkan rang undang-undang yang akan membenarkan ekstradisi ke China mengikut sistem kehakimannya.

Ia kemudian ditarik balik namun kemarahan itu mencetuskan pergerakan lebih besar untuk perubahan yang membawa jutaan berhimpun di jalanan serta menyaksikan pertembungan ganas antara polis dan penunjuk perasaan. -AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X