Jumaat, 10 Januari 2020 | 6:39am
Jurucakap kerajaan Iran, Ali Rabiei. - Foto EPA/EFE
Jurucakap kerajaan Iran, Ali Rabiei. - Foto EPA/EFE

Iran nafi pesawat Ukraine terkena peluru berpandu

DUBAI: Iran semalam menafikan pesawat Ukraine yang terhempas berhampiran Tehran terkena peluru berpandu, kata jurucakap kerajaan Iran, Ali Rabiei dalam satu kenyataan.

"Semua laporan itu adalah perang psikologi terhadap Iran ... semua negara yang rakyatnya berada di dalam pesawat itu boleh menghantar wakil dan kami meminta Boeing menghantar wakilnya untuk menyertai proses penyiasatan kotak hitam."

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam mengatakan bahawa negaranya mempunyai perisikan dari pelbagai sumber yang menunjukkan bahawa pesawat Ukraine yang terhempas di luar Tehran itu secara tersilap ditembak oleh Iran.

"Kami mempunyai perisikan dari pelbagai sumber, termasuk sekutu dan perisikan kami sendiri. Bukti menunjukkan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu dari permukaan ke udara Iran," kata Trudeau kepada pemberita.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, semalam turut mengatakan bahawa terdapat bukti bahawa pesawat Ukraine yang terhempas di Iran itu secara tidak sengaja terkena bedilan peluru berpandu dari permukaan ke udara.

Senada dengan kesimpulan oleh Amerika Syarikat dan Kanada, Johnson menyeru diadakan siasatan penuh yang telus terhadap kemalangan yang membunuh semua 176 orang di atas pesawat berkenaan termasuk empat warga Britain.

Sekarang terdapat satu maklumat yang mengatakan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu dari permukaan ke udara Iran. Ini mungkin tidak disengajakan," kata Johnson dalam satu kenyataan.

"United Kingdom terus menyeru semua pihak supaya segera menamatkan ketegangan di rantau berkenaan." - REUTERS/AFP

Berita Harian X