Sabtu, 11 Januari 2020 | 3:54pm
Haitham bin Tariq ditabalkan sebagai Sultan menggantikan sepupunya, Sultan Qaboos, yang meninggal dunia semalam. - Foto Reuters
Haitham bin Tariq ditabalkan sebagai Sultan menggantikan sepupunya, Sultan Qaboos, yang meninggal dunia semalam. - Foto Reuters

Menteri ditabalkan sebagai Sultan Oman

MUSCAT: Menteri Kebudayaan Oman, Haitham bin Tariq, ditabalkan sebagai Sultan menggantikan sepupunya, Sultan Qaboos, yang meninggal dunia semalam.

Kerajaan Oman, dalam satu kenyataan, berkata Haitham bin Tariq mengangkat sumpah sebagai Sultan yang baru...selepas perjumpaan dalam kalangan keluarga diraja membuat keputusan memilih calon pilihan Sultan sendiri.

Sultan Qaboos, pemimpin paling lama di dunia Arab moden yang meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun, tidak berkahwin dan tiada anak, sekali gus tidak meninggalkan pewaris untuk takhtanya.

Mengikut Perlembagaan Oman, keluarga diraja mempunyai masa tiga hari untuk menentukan pengganti dan sekiranya gagal, orang yang dinamakan Sultan Qaboos dalam surat kepada keluarga berkenaan akan dilantik sebagai Sultan yang baru.

Ramai meramalkan seorang lagi sepupu Sultan Qaboos, Asad bin Tariq, akan dpilih menggantikannya kerana beliau pernah dilantik Timbalan Perdana Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, yang dilihat sebagai tanda sokongan yang kukuh.

Haitham, seorang peminat sukan, pernah memegang jawatan Setiausaha Hal Luar Negara bagi Hal Ehwal Politik sebelum dilantik Menteri Kebudayaan pada pertengahan 1990-an selain pernah mengetuai Persekutuan Bola Sepak Oman sekitar awal 80-an. - AFP

Berita Harian X