Sabtu, 11 Januari 2020 | 10:18pm
Presiden Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP
Presiden Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP

Iran akui tertembak pesawat Ukraine, dunia tuntut penjelasan

DUBAI: Iran mengakui tenteranya tersilap tembak pesawat Boeing 737-800 milik Ukraine International Airlines (UIA), mengorbankan semua 176 penumpang dan kru, sekali gus mengundang kritikan dari serata dunia.

Mangsa nahas itu membabitkan 63 rakyat Kanada, 82 rakyat Iran, 11 rakyat Ukraine, 10 rakyat Sweden, empat rakyat Afghanistan dan masing-masing tiga rakyat Jerman serta Britain.

Presiden Iran, Hassan Rouhani, di laman Twitternya, membuat pengakuan itu dan berkata siasatan pihak tentera mendapati tragedi itu berlaku kerana ‘kesilapan manusia’.

“Ini adalah kesilapan yang tidak boleh dimaafkan. Iran amat menyesal dengan kesilapan tragik ini. Ingatan dan doa saya kepada semua keluarga yang sedang berkabung.

“Teheran kini sedang mengumpulkan data termasuk gambar, video dan bahan lain berhubung siasatan terhadap jet penumpang itu. Siasatan akan dilaksanakan secara objektif dan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, turut mengucapkan takziah dan mengarahkan pasukan tentera Iran menangani kecuaian itu dan memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang.

Iran yang pada awalnya menafikan dakwaan pesawat itu ditembak, semalam mengakui kesilapan tenteranya.

Komander Udara Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigadier Jeneral Amirali Hajizadeh, dalam kenyataan disiarkan televisyen Iran, berkata peluru berpandu yang ditembak itu meletup berhampiran pesawat malang itu.

"Ia adalah peluru berpandu jarak pendek yang meletup berhampiran pesawat terbabit, itu sebabnya ia dapat teruskan penerbangan buat sementara dan hanya meletup apabila terhempas,” katanya.

“Pengendali peluru berpandu tersilap, dia ingatkan pesawat itu adalah peluru berpandu dan malangnya, dalam tempoh 10 saat bagi membuat keputusan untuk tembak atau tidak, dia tersilap. IRGC bertanggungjawab penuh dalam tragedi ini,” katanya.

Di Kiev, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menuntut Iran menghukum mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat milik negara itu selain membayar pampasan.

Beliau turut ini menuntut Iran memberi ‘akses penuh’ kepada siasatan pakar penerbangan Ukraine dan pegawai keselamatan yang dihantar untuk menyiasat kemusnahan.

Sementara itu di Ottawa, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata Iran perlu bertanggungjawab selepas mengakui tersilap tembak pesawat Ukraine itu.

Beliau menuntut ketelusan dan keadilan bagi keluarga mangsa, kebanyakannya memiliki dua kewarganegaraan iaitu Iran dan Kanada.

"Ini adalah tragedi nasional dan seluruh Kanada berkabung bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Agensi berita Interfax memetik Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly, berkata ini adalah saat penting untuk memberi ruang kepada perbincangan dan rundingan mengenai perjanjian nuklear Iran.

“Pengajaran yang perlu dipelajari dari urutan peristiwa dramatik yang dialami adalah kita mesti menamatkan sengketa ini," katanya.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, berkata adalah penting bagi Iran memberi penjelasan.

“Teheran perlu bertanggungjawab terhadap malapetaka dahsyat ini dengan mengambil langkah-langkah untuk memastikan sesuatu seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.

Kemalangan di Iran itu mirip kepada tragedi menimpa pesawat Penerbangan Malaysia dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di ruang udara Ukraine pada 2014, mengorbankan semua 296 penumpang dan kru.

Penyiasat mendapati pesawat utu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK buatan Russia, dalam serangan pejuang pemisah pro Russia dan empat orang didakwa serta menunggu perbicaraan di Belanda Mac ini. - Agensi

Berita Harian X