Selasa, 14 Januari 2020 | 6:11pm
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto AFP
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto AFP

Masa makin suntuk untuk AS-Korea Utara capai perjanjian

SEOUL: Masa semakin suntuk untuk Washington dan Pyongyang mencapai perjanjian berhubung senjata nuklear Korea Utara, tegas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini, yang bertanggungjawab menguruskan rundingan berkenaan.

Jae-in sudah sekian lama berurusan dengan Pyongyang dan menggunakan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan untuk memulihkan hubungan diplomatik, yang tiba ke kemuncaknya menerusi pertemuan antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Singapura.

Bagaimanapun, rundingan itu tergantung sejak pertemuan kedua di Hanoi tahun lalu yang gagal memutuskan mengenai mengakhiri sekatan dan apa yang sanggup diserahkan Korea Utara sebagai balasan.

Sejak itu, Pyongyang menamatkan moratorium berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu balistik antara benua, dan menegaskan tidak akan kembali ke meja rundingan melainkan Washington bersetuju dengan semua permintaannya.

Negara itu turut menggantung semua kerjasama antara Korea dan menegaskan ‘tiada apa yang mahu dibicarakan’ dengan Seoul.

“Jelas ketika ini perbincangan terhenti. Ia bukan sesuatu yang kita inginkan kerana situasi akan tergendala jika perbincangan terhenti dalam tempoh lama,” kata Jae-in ketika sidang media Tahun Baharu.

Kedua-dua pihak tidak memilik masa yang banyak, katanya. “Apabila perebutan jawatan presiden bermula sepenuhnya, sukar bagi AS mencari masa untuk berbincang dengan Korea Utara.”

Meskipun tergantung, Jae-in menegaskan rundingan masih boleh dilakukan. “Korea Utara menunjukkan mereka masih membuka pintu untuk dialog dan mereka mahu berbincang.” - AFP

Berita Harian X