Rabu, 15 Januari 2020 | 3:38pm
Tsai Ing-wen.
Tsai Ing-wen.

Taiwan 'sudah merdeka', amaran Presiden kepada China

TAIPEI : China perlu akur bahawa Taiwan sudah bebas, kata Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen yang memberi amaran kepada Beijing bahawa sebarang usaha menggugat demokrasi di pulau berkenaan adalah “sangat mahal” harganya.

Tsai yang memenangi penggal kedua pada pilihan raya negara itu Sabtu lalu, mencatatkan rekod memperoleh 8.2 juta undi yang dilihat sebagai sokongan rakyat negara itu menolak kempen berterusan China menganggap pulau itu sebahagian wilayahnya.

Beberapa pemimpin China tidak berahsia mengenai keinginan mereka melihat Tsai dan partinya kecundang kerana menolak ketegasan negara itu yang mendakwa pulau itu adalah sebahagian daripada China.

Beijing menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan bersumpah untuk kembali merampasnya, malah mahu membuat pengisytiharan kemerdekaan semula untuk pulau berkenaan.

Tsai dalam wawancara pertamanya selepas menang pilihan raya menyatakan tidak ada keperluan untuk mengumumkan kemerdekaan kerana pulau itu sudah bebas dan beroperasi sendiri.

"Kami tidak mempunyai keperluan untuk mengisytiharkan diri sebagai negara merdeka. Kami adalah sebuah negara yang bebas dan kami adalah Republik China, Taiwan." katanya kepada BBC.

Taiwan moden telah berjalan secara berasingan dari tanah besar China selama 70 tahun yang lalu, selepas pemerintahan diktator Chiang Kai-shek berikutan kekalahannya pada 1949 kepada komunis dalam perang saudara China.

Namun, sejak 1980-an, Taiwan menjadi salah satu negara demokrasi yang paling progresif di Asia, walaupun ia hanya diiktiraf secara diplomatik oleh beberapa negara.

Undian menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Taiwan menolak idea bahawa pulau itu harus menjadi sebahagian daripada tanah besar China.

“Kami mempunyai identiti yang berasingan dan kami adalah negara kita sendiri. Kami demokrasi yang berjaya, kami mempunyai ekonomi yang cukup baik, kami berhak mendapat penghormatan dari China", kata Tsai.

Dalam temu bual yang sama, Tsai memberi amaran terhadap tindak balas ketenteraan dari Beijing.

"Menyerang Taiwan adalah sesuatu yang sangat mahal untuk China," katanya.

Mengulas tuduhan pengkritik yang menuduh beliau bersikap antagonist terhadap Beijing, Tsai berkata: "Mengekalkan status quo tetap menjadi dasar kita ... Saya fikir ini adalah gerakan yang sangat mesra ke China."

Dalam masa yang sama, Tsai berulang kali mengatakan dia sanggup berbincang dengan Beijing selagi tidak ada pra-syarat, tetapi Beijing menolak, memutuskan komunikasi rasmi dengan pentadbiran Taiwan. - AFP

Berita Harian X