Sabtu, 18 Januari 2020 | 11:18am

4 lagi kes penyakit radang paru-paru dikesan di Wuhan

BEIJING: Pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan empat lagi kes penyakit radang paru-paru dikesan susulan penularan wabak dipercayai membabitkan jenis koronavirus baharu di Wuhan.

Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan dalam satu kenyataan memaklumkan, ia hasil diagnosis terhadap empat individu terbabit pada Khamis lalu, namun mereka berada dalam keadaan stabil.

Kenyataan itu adalah pengesahan pertama kes baharu oleh pihak berkuasa dalam tempoh hampir seminggu dan sehari selepas suruhanjaya terbabit mengesahkan kematian pesakit kedua.

Setakat ini, hampir 50 orang diketahui sudah dijangkiti dan hanya membabitkan mereka yang pernah pergi atau tinggal di Wuhan, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penularan lebih luas boleh berlaku.

Ramai daripada penduduk China yang berjumlah 1.4 bilion dijangka ke luar negara ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina, minggu depan, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai penyebaran penyakit itu ke tempat lain di dunia.

Thailand melaporkan dua kes jangkitan koronavirus membabitkan pelancong dari Wuhan, minggu ini, manakala Jepun mengesahkan satu kes warganya yang berkunjung ke Wuhan. - REUTERS

Berita Harian X