Ahad, 19 Januari 2020 | 10:59am

China lapor 17 kes baharu virus misteri

BEIJING: China melaporkan 17 kes baharu virus misteri mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) termasuk tiga kes kronik.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan berikutan peningkatan pergerakan ratusan juta penduduk negara itu yang jangka berlaku menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Virus yang dikenal pasti sebagai jenis baru koronavirus boleh menjangkiti manusia itu digeruni kerana kaitannya dengan SARS, yang mengorbankan hampir 650 orang di China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Daripada 17 kes dilaporkan di Wuhan, yang dipercayai pusat penularan wabak itu, tujuh disifatkan sebagai tenat.

Pihak berkuasa Wuhan berkata virus terbabit kini sudah menjangkiti 62 orang, dengan lapan dalam keadaan teruk, 19 sudah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala bakinya masih menerima rawatan.

Setakat ini, dua orang terkorban kerana virus itu termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun meninggal dunia Rabu lalu, akibat ‘pulmonary tuberculosis’ dan kegagalan fungsi pelbagai organ akibat penyakit itu.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan MRC Centre for Global Infectious Disease Analysis di Imperial College, London memberi amaran bahawa kes yang dilaporkan di Wuhan mungkin mencecah 1,700 berbanding kenyataan rasmi.

Malah, pihak berkuasa berkata ada sesetengah kes baharu didapati tiada kaitan langsung dengan pasar makanan laut Wuhan yang dikatakan menjadi punca penularan wabak itu.

Tiada jangkitan antara manusia kepada manusia dikesan setakat ini tetapi Suruhanjaya Kesihatan Wuhan sebelum ini sudah memberi amaran bahawa kemungkinan itu ‘tidak boleh dikecualikan’.

Selain China, tiga kes dilaporkan di luar negara termasuk dua di Thailand dan satu di Jepun.

Walaupun China belum lagi mengeluarkan amaran perjalanan, pihak berkuasa Hong Kong sudah meningkatkan langkah pengesanan termasuk memperketatkan pemeriksaan suhu badan terhadap pengembara dari China.

Amerika Syarikat (AS) akan memulakan saringan penumpang menaiki penerbangan terus dari Wuhan di lapangan terbang San Francisco dan New York selain Los Angeles.

Thailand sudah memulakan saringan penumpang yang tiba di Bangkok, Chiang Mai serta Phuket dan akan melakukannya di Krabi.

Wuhan adalah bandar dengan 11 juta penduduk yang menjadi hab pengangkutan utama, lebih-lebih lagi ketika tahun Baharu Cina, di mana ratusan juta penduduk China dijangka mengembara melawat keluarga di serata negara itu. - AFP

Berita Harian X