Selasa, 21 Januari 2020 | 8:30pm
Gambar fail, pegawai polis trafik Delhi memeriksa pemandu dan penunggang motorsikal. - Foto Burhaan Kinu/Foto HT

Diarah tulis karangan kerana tidak memakai topi keledar

NEW DELHI: Penunggang motosikal di Madhya Pradesh di tengah India, diminta untuk menulis karangan selepas ditahan polis daerah itu kerana tidak memakai topi keledar.

Hindustan Times melaporkan, untuk tempoh enam hari, lebih 150 penunggang motosikal yang ditahan atas kesalahan sama diminta menulis karangan 100 patah perkataan akibat gagal memakai topi keledar.

Inisiatif itu dilancarkan sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya yang berakhir Jumaat lalu kerana pemakaian topi keledar adalah wajib bagi penunggang motosikal di negara berkenaan.

Asisten Superintendan Pradeep Chouhan, berkata sepanjang kempen itu penunggang yang gagal memakai topi keledar akan diminta menulis karangan 100 patah perkataan kerana melanggar undang-undang berkenan.

“Inisiatif ini bermula 11 Januari dan berakhir tujuh hari kemudian. Namun, hukuman itu akan diteruskan walaupun kempen keselamatan sudah berakhir,” katanya.

Dalam tempoh enam hari, penguatkuasaan undang-undang itu diperketatkan bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang.

Menerusi kempen itu juga, risalah keselamatan jalan raya diedarkan kepada pengguna selain pemeriksaan mata kepada pemandu juga turut dijalankan. - Agensi

Berita Harian X