Khamis, 23 Januari 2020 | 8:13pm

Wuhan, Huanggang dikuarantin, semua pengangkutan digantung

BEIJING: China kuarantin Wuhan dan Huanggang serta menyekat semua bentuk pengangkutan keluar masuk ke bandar terbabit bagi membendung penularan wabak koronavirus baharu.

Semua penerbangan, perkhidmatan kereta api, bas pengantara dan feri digantung bagi mengekang wabak yang setakat ini mengorbankan 17 orang dan menjangkiti lebih 600 mangsa itu daripada menjadi ancaman global.

Wuhan adalah bandar pelabuhan utama di wilayah Hubei dengan 11 juta penduduk dan Huanggang yang terletak berhampiran, mempunyai 7.5 juta penduduk manakala stesen kereta api di sebuah lagi bandar, Ezhou, dengan 1.1 juta penduduk, ditutup buat masa sekarang.

Selain kuarantin dan larangan perjalanan, Wuhan, lokasi tercetus wabak koronavirus baharu itu, semua acara awam yang besar dibatalkan manakala media menyifatkannya sebagai ‘medan tempur utama’ dalam usaha menangani penularan wabak berkenaan.

Koronavirus baharu itu dipercayai muncul lewat tahun lalu, berpunca daripada haiwan liar yang didagangkan secara haram di Pasar Makanan Laut Wuhan.

Virus terbabit kini dikesan di bandar utama seperti Beijing, Shanghai dan Hong Kong selain merebak ke luar negara termasuk empat kes di Thailand dan masing-masing satu di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan serta Taiwan.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, pihak berkuasa mengumumkan penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dari Wuhan digantung manakala bas awam dan pengangkutan bawah tanah turut dihentikan sehingga makluman lanjut.

Pusat kawalan khas memerangi koronavirus di bandar terbabit mengeluarkan notis menegaskan bahawa tanpa alasan khas, penduduk tidak boleh meninggalkan Wuhan.

“Langkah ini bagi menghalang penularan virus berkenaan secara berkesan, membendung wabak dengan tegas, dan menjamin kesihatan serta keselamatan rakyat,” kata notis terbabit.

Keputusan itu dibuat ketika ratusan juta penduduk negara itu bakal melakukan perjalanan ke serata tempat sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Xinhua melaporkan, jabatan kebudayaan dan pelancongan bandar itu turut membatalkan segala lawatan berkumpulan hingga 8 Februari depan manakala hotel serta lokasi tumpuan pelancong mesti menangguhkan semua program berskala besar hingga tarikh berkenaan.

Katanya, perpustakaan wilayah itu dan dua teater tempatan utama turut membatalkan pameran serta persembahan, manakala empat muzium menggantung operasi hingga notis lanjut.

Terdahulu, pegawai bandar itu menggesa orang ramai supaya tidak berkunjung ke Wuhan, sementara penduduk pula perlu mengelak daripada meninggalkan bandar berkenaan.

Malah, upacara ibadat di Tokong Guiyuan, Wuhan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menarik kehadiran 700,000 orang pada tahun lalu, dibatalkan.

Media tempatan melaporkan semua lebuh raya dan laluan keluar masuk ke Wuhan ditutup serta di kawal pihak berkuasa.

Penduduk pula membanjiri hospital bagi mendapatkan rawatan selain membeli stok makanan dan beratus panjang bagi mendapatkan bekalan petrol.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menangguhkan keputusan sama ada mahu mengisytiharkan penularan wabak itu sebagai ‘kecemasan kesihatan global’, sekali gus membolehkan tindakan antarabangsa diselaras bagi membendung penularan wabak.

Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan WHO, Didier Houssin, berkata pakar berbelah bahagi terhadap pengisytiharan itu, yang hanya dilakukan bagi membendung wabak paling buruk.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata jawatankuasa terbabit dijadualkan bertemu sekali lagi sebelum membuat keputusan kerana memerlukan lebih banyak maklumat dan memuji usaha China mengekang penularan wabak terbabit. - Agensi

Berita Harian X