Sabtu, 25 Januari 2020 | 3:29pm
- Foto hiasan

Indonesia tambah import dari India demi minyak sawit

NEW DELHI: Indonesia bersetuju menambah import daging kerbau, gula dan alat ganti kenderaan dari India sebagai balasan kepada negara itu meningkatkan import minyak sawit.

Reuters melaporkan bahawa sumber kerajaan berkata Indonesia mengambil kesempatan daripada tindakan India mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia berikutan tindakan kerajaan Malaysia mendakwa India amalkan dasar mendiskriminasi penduduk Islamnya.

Indonesia dan Malaysia menguasai 85 peratus pasaran minyak sawit dunia manakala India adalah pembeli terbesar minyak makan itu.

India mengehadkan import minyak sawit Malaysia sejak awal Januari lalu dan Indonesia selaku

pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, dijangka menerima manfaat terbesar daripada kemelut itu.

Menurut sumber, menteri perdagangan India serta Indonesia, yang mahu menggandakan dagangan dua hala sehingga AS$50 bilion (RM203 bilion) menjelang 2025, bertemu di Davos, Switzerland baru-baru ini dan bersetuju mempercepatkan usaha itu.

“Sasaran itu sudah kita tetapkan sebelum ini dan prosesnya kini dipercepatkan. Bermula sekarang, mereka (Indonesia) berjanji akan membeli lebih banyak daging kerbau, gula dan alat ganti kenderaan.

“Import minyak sawit dari Indonesia akan bertambah dan kita (India) akan menambah eksport dalam pelbagai sektor,” kata sumber kerajaan India, tanpa mendedahkan kadar import dan eksport yang dimaksudkan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan dokumen kerajaan India yang diperoleh Reuters, Indonesia ‘secara tidak rasmi’ bersetuju menambah sekali ganda kuota import tahunan daging kerbau dari India kepada 200,000 tan.

Dagangan India-Indonesia bernilai AS$21.2 bilion (RM86 bilion) bagi tahun fiskal lalu yang berakhir pada Mac lalu, termasuk AS$15.84 bilion (RM64.4 bilion) pembelian oleh India.

Sumber kerajaan India memaklumkan, Menteri Perdagangan Indonesia, Agus Suparmanto, akan melawat India bulan depan bagi rundingan lanjut mempertingkatkan dagangan.

Indonesia mengimport 94,500 tan daging kerbau India bernilai AS$323 juta (RM1.3 bilion) pada tahun fiskal 2018/19 iaitu pembeli ketiga terbesar daging kerbau India selepas Vietnam dan Malaysia.

Bagaimanapun, Indonesia hanya membeli 555 tan gula dari India pada tahun fiskal lalu tetapi kini sudah bersedia menambah pembelian komoditi itu, selain rundingan bagi melonggarkan peraturan atau standard serta menambah kuota dalam sektor tertentu.

Baru-baru ini, salah sebuah pengeluar utama gula Malaysia memberitahu Reuters bahawa ia akan menambah pembelian gula mentah dari India, sebagai usaha menjaga hati negara itu berikutan kemelut berhubung minyak sawit. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X