Ahad, 26 Januari 2020 | 9:47pm
Menteri Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, Ma Xiaowei. - Foto Reuters
Menteri Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, Ma Xiaowei. - Foto Reuters

China bergelut untuk membendung coronavirus

SHANGHAI: Suruhanjaya Kesihatan Naional China menjangkakan jangkitan coronavirus akan terus meningkat berikutan keupayaan wabak itu untuk tersebar semakin cepat.

Menteri Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, Ma Xiaowei, berkata pengetahuan mengenai virus yang setakat ini menjangkiti lebih 2,000 mangsa selain mengakibatkan 56 kematian itu sangat terhad berikutan ia masih baru.

Katanya, tempoh inkubasi virus berkenaan ialah antara satu hingga 14 hari dengan jangkitan boleh berlaku dalam tempoh itu, tidak seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), juga coronavirus dari China yang membunuh hampir 800 orang sekitar 2002 dan 2003.

“Bagi mengekang penularan wabak itu, China mempergiatkan larangan pengangkutan dan perjalanan serta membatalkan sambutan acara besar,” katanya pada taklimat media pada hari kedua cuti Tahun Baharu Cina hari ini.

Virus itu dipercayai berpunca dari Pasar Makanan Laut Wuhan yang turut menjalankan perdagangan haram hidupan liar, dan merebak ke Beijing serta Shanghai selain ke Amerika Syarikat (AS), Thailand, Korea Selatan, Jepun, Australia, Perancis dan Kanada.

Wabak itu mengakibatkan gangguan pergerakan di China terutama di Wuhan, iaitu bandar mempunyai kira-kira 11 juta penduduk, berikutan dikenakan larangan perjalanan.

Penularan wabak itu dari awal lagi menjejaskan sambutan Tahun Baharu Cina ratusan juta pelancong dari China dan negara luar selain mengakibatkan banyak acara awam dibatalkan serta tarikan pelancongan ditutup.

Pengendali pelayaran termasuk Royal Caribbean Cruises, Costa Cruises, MSC Cruises dan Astro Ocean Cruises berkata mereka terpaksa membatalkan 12 pelayaran yang sudah dijadualkan untuk berlabuh di Pelabuhan China sebelum 2 Februari. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X