Isnin, 27 Januari 2020 | 12:15am
Sebahagian rakyat India berhimpun membantah usul kerakyatan yang dikhuatiri mewujudkan kebimbangan terhadap komuniti minoriti Islam di republik itu. - Foto AFP

Sambutan Hari Republik India dicemari bantahan rakyat

KOCHI/LUCKNOW: Ratusan ribu rakyat India berhimpun di seluruh negara hari ini, membantah usul kerakyatan yang dikhuatiri mewujudkan kebimbangan terhadap komuniti minoriti Islam di republik itu.

Tunjuk perasaan sejak bulan lalu itu mewujudkan momentum baharu apabila India menyambut Hari Republik sempena peringatan pelaksanaan Perlembagaan negara itu.

Di selatan Kerala, penganjur berkata, lebih 100,000 penunjuk perasaan membentuk rantaian manusia disusuli rapat umum di lebih 250 lokasi lain di seluruh negara.

"Ia bukan hanya rantaian, tetapi tembok manusia membantah pelanggaran prinsip Perlembagaan," kata Ketua Menteri Pinarayi Vijayan Kerala, pada rapat umum di ibu negeri Thiruvananthapuram.

Satu lagi rantaian manusia sepanjang 11 kilometer juga dibentuk di Kolkata, kata penganjur.

Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) dan Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) adalah sebahagian manifesto pilihan raya parti pemerintah nasionalis Hindu dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kerajaan India percaya bahawa undang-undang diperlukan untuk melindungi pelarian merentasi selatan Asia.

Pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 terkorban sejak 12 Disember lalu, apabila kerajaan meluluskan CAA.

Puluhan ribu membantah di Mumbai, Lucknow, ibu kota Uttar Pradesh yang ramai penduduknya, mencatatkan jumlah kematian tertinggi sejak pergolakan bermula dengan kedua-duanya diketuai lebih ramai pemimpin wanita.

"Tunjuk perasaan ini membantah diskriminasi CAA... akan terus bersambung hingga ia dibatalkan kerajaan," kata penunjuk perasaan di Lucknov, Ambreen Rizvi.

Di pantai barat Assam pula menyaksikan lima letupan dengan kumpulan militan, United Liberation Front of Assam (ULFA) mengaku bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Di New Delhi, kerajaan menganjurkan perarakan tahunan sempena Hari Republik, mempamerkan peralatan ketenteraan India dan kepelbagaian kaum. Presiden Brazil, Jair Bolsonaro adalah tetamu utama.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di ibu negara, termasuk di kawasan Shaheen Bagh yang mana ratusan penduduk menghalang lebuh raya utama sejak Disember lalu. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X