Isnin, 17 Februari 2020 | 9:19pm
Seorang pengawal keselamatan memakai topeng muka pelindung ketika ia berdiri di lorong di sebelah jalan beli-belah di Beijing. - Foto AFP
Seorang pengawal keselamatan memakai topeng muka pelindung ketika ia berdiri di lorong di sebelah jalan beli-belah di Beijing. - Foto AFP

Wilayah Hubei ditutup sepenuhnya

BEIJING: Wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan COVID-19, semalam mengumumkan akan melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat terhadap semua penduduknya bagi menghalang wabak itu merebak.

Mengikut peraturan baharu, semua perniagaan akan ditutup dan semua 58 juta penduduk di wilayah itu tidak boleh meninggalkan komuniti kediaman atau perkampungan masing-masing.

Tiada sebarang kenderaan atau pelawat dibenarkan masuk ke kawasan komuniti kediaman atau perkampungan, kecuali benar-benar perlu.

Hubei turut melarang semua kenderaan di atas jalan raya, kecuali kereta polis, ambulans, kenderaan yang membawa barangan keperluan dan beberapa kenderaan lain yang dibenarkan.

Jumlah orang awam di dalam premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pula akan dihadkan, serta ‘penyelarasan kolektif’ bagi individu yang dibenarkan keluar daripada rumah untuk membeli barangan keperluan.

“Kawalan penyakit di wilayah ini memasuki tempoh yang penting dan sukar. Situasi masih teruk dan untuk mengawal dan menghentikan penularan jangkitan...berikut adalah peraturan baharu,” kata kerajaan tempatan itu dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dilakukan ketika COVID-19, sudah menjangkiti hampir 70,000 penduduk seluruh dunia dan membunuh lebih 1,700 mangsa yang kebanyakannya di wilayah Hubei di tengah China.

Kerajaan menggesa kedai yang ‘tidak penting’ di wilayah itu ditutup dan semua aktiviti awam dibatalkan. Pihak farmasi juga perlu merekodkan maklumat, termasuk nama sebenar, nombor telefon, dokumen pengenalan diri dan alamat pelanggan yang membeli ubat selsema, batuk atau demam.

Mana-mana kampung, komuniti atau pejabat yang memiliki kes jangkitan virus itu, akan dikuarantin selama 14 hari.

Kilang dan syarikat juga memerlukan kelulusan khas untuk menyambung operasi perniagaan. - AGENSI

Berita Harian X