Selasa, 18 Februari 2020 | 12:14am
Gambar fail, aktivis sosial yang juga pemenang Nobel remaja, Malala Yousafzai. - Foto Getty Image
Gambar fail, aktivis sosial yang juga pemenang Nobel remaja, Malala Yousafzai. - Foto Getty Image

Pakistan sahkan bekas pemimpin Taliban yang menembak pemenang anugerah Nobel melarikan diri

ISLAMABAD: Pakistan mengesahkan bekas pemimpin Taliban yang melakukan serangan ke atas aktivis sosial yang juga pemenang Nobel remaja, Malala Yousafzai pada 2012 telah melarikan diri dari tahanan.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Pakistan, Ijaz Shah beberapa hari selepas militan berkenaan mengumumkan mengenai perkara itu di media sosial.

Bekas jurucakap Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan, yang didakwa bertanggungjawab dalam beberapa serangan Taliban, mengumumkan di Twitter beliau berjaya melarikan diri.

Mesej yang sama juga disampaikan melalui pesanan audio yang dihantar kepada media Pakistan, awal bulan ini.

Tentera Pakistan, enggan memberi ulasan mengenai perkara itu.

Shah mengesahkan perkara itu, berkata: "Itu benar, itu betul."

Beliau yang juga pesara Brigedier Jeneral menambah bahawa akan ada ‘berita baik’ (berhubung perkara itu) ketika ditanya media mengenai usaha memburu Ehsan.

Ehsan memberitahu Reuters melalui telefon bahawa dia sudah meninggalkan Pakistan dan kini tiba di Turki bersama isteri dan anak-anaknya.

Beliau berkata, beliau pada mulanya sudah menyerah diri kepada tentera di bawah satu perjanjian, tetapi melarikan diri apabila perjanjian itu tidak dihormati.

Menurutnya, beliau melarikan diri pada 11 Januari lalu tetapi tidak menjelaskan bagaimana melepasi kawalan ketat di penjara ketenteraan dan berjaya meloloskan diri ke negara lain.

Pakar militan dan penganalisis Pakistan menyuarakan keraguan mengenai bagaimana Ehsan dapat melarikan diri.

Mereka percaya wujud perjanjian antara kerajaan dan Ehsan berhubung tindakan melarikan diri itu yang mana besar kemungkinan bekas pemimpin itu akan menjadi pemberi maklumat bagi membantu kerajaan memerangi kumpulan militan berkenaan.

Selepas ditahan pada 2017, stesen televisyen tempatan, Geo News TV menyiarkan wawancara bersama Ehsan yang dibuat dalam tahanan yang mana beliau mendedahkan dibiayai kumpulan penentang perkhidmatan perisikan rahsia Pakistan dan India.

Tentera Pakistan sebelum ini berjanji akan membawa Ehsan ke mahkamah untuk perbicaraan tetapi sehingga kini tidak melakukannya.

Serangan Taliban di Pakistan telah merosot dalam beberapa bulan terakhir sejak tentera menjalankan beberapa operasi terhadap tempat perlindungan yang digunakan oleh kumpulan militan Islam di daerah sepanjang sempadan dengan Afghanistan. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X