Selasa, 3 March 2020 | 8:14pm
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media harian mengenai COVID-19 di Geneva. Foto AFP
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media harian mengenai COVID-19 di Geneva. Foto AFP

Perang basmi COVID-19 memasuki fasa baharu - WHO

BEIJING: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dunia kini memasuki fasa baharu perang membasmi COVID-19 apabila angka kematian terus meningkat di serata dunia walaupun kadar jangkitan berkurangan di China.

Ketika ini, lebih 3,100 mangsa maut, manakala lebih 90,000 dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia walaupun muncul anjakan jelas dalam krisis dengan sembilan kali lebih banyak kes direkod di luar China, menurut WHO.

China sudah menguat kuasa perintah kuarantin yang tegas dan sekatan perjalanan terhadap sejumlah besar rakyatnya selama beberapa minggu, strategi yang dilihat berjaya susulan penurunan kes baharu sejak beberapa hari kebelakangan.

Ketika Itali menutup bandar tertentu, beberapa negara lain menghentikan kuarantin besar-besaran tetapi tidak menggalakkan perhimpunan berskala besar, menangguh acara sukan dan melarang kemasukan pelancong dari negara dilanda virus.

Aplikasi Twitter juga meminta kakitangannya bekerja dari rumah. Korea Selatan, Iran dan Itali muncul sebagai titik panas utama COVID-19 di luar China.

Kebimbangan ekoran peningkatan kesan terhadap ekonomi global, Menteri Kewangan G7 dan ketua bank pusat mengadakan perbincangan mengenai perkara itu semalam.

Di Korea Selatan, kluster terbesar di luar China, hampir 5,000 kes dicatatkan semalam, dengan 477 jangkitan baharu dilaporkan, membabitkan dua kematian sekali gus menyebabkan jumlah keseluruhan meningkat kepada 28.

"Seluruh negara kini berperang dengan penyakit berjangkit," kata Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Sebaliknya, China melaporkan 125 kes baharu hari ini, iaitu peningkatan paling sedikit dalam sehari bagi tempoh enam minggu, termasuk 11 jangkitan di wilayah Hubei. - AFP

Berita Harian X