Rabu, 4 March 2020 | 4:06pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Itali catat 79 kematian, antara tertinggi selepas China

ROME: Itali kini menjadi antara negara yang mencatatkan kes kematian akibat wabak COVID-19 tertinggi selepas China dengan 79 individu maut selain jumlah jangkitan melebihi 2,500.

Pihak berkuasa kesihatan Itali berkata, mereka mungkin menubuhkan zon merah kuarantin baharu untuk cuba membendung wabak itu di negara paling teruk dilanda virus itu di Eropah, selepas angka kematian dan jumlah kes melonjak.

“Seramai 27 orang meninggal dunia akibat wabak itu dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia 79 orang,” kata Agensi Perlindungan Awam, semalam.

Peningkatan kematian adalah yang terbesar sejak wabak itu muncul 12 hari lalu di wilayah kaya di utara, Lombardy dan Veneto.

Ia kekal berpusat di utara, dengan Lombardy paling teruk terjejas, tetapi sejak itu telah menular ke selatan.

Semalam, jumlah kes meningkat kepada 2,502 daripada 2,036 sehari sebelumnya.

Sementara itu, Korea Selatan menjadi negara kedua tertinggi mencatatkan kes COVID-19 apabila jumlah kes di negara itu mencecah 5,000.

Setakat pagi semalam, Pusat Kawalan Penyakit Korea Selatan mengesahkan 4,812 kes di negara berkenaan.

Selain itu, dua lagi maut menjadikan 28 mangsa meninggal dunia akibat COVID-19.

Beberapa acara seperti konsert K-pop hingga perlawanan sukan ditangguhkan atau dibatalkan.

Sementara itu, cuti bagi sekolah dan tadika di seluruh negara dilanjutkan untuk tiga minggu lagi. - AGENSI

Berita Harian X