Rabu, 4 March 2020 | 8:58pm
Penumpang memakai topeng muka pelindung, berikutan merebaknya coronavirus, ketika membawa barangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, di Baghdad. - Foto REUTERS
Penumpang memakai topeng muka pelindung, berikutan merebaknya coronavirus, ketika membawa barangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, di Baghdad. - Foto REUTERS

Iraq sahkan kematian pertama COVID-19

SULAIMANIYAH: Kerajaan Iraq hari ini, mengesahkan kematian pertama akibat penularan COVID-19 membabitkan seorang paderi berusia 70 tahun.

Paderi terbabit sebelum ini dikuarantin di timur laut Sulaimaniyah dengan mendiang adalah seorang daripada 31 pesakit lain yang menghidap COVID-19 di negara itu, kata jurucakap pihak berkuasa kesihatan Kurdish.

Menurut sumber tempatan, mendiang baru-baru ini berjumpa warga Iraq yang baharu pulang dari Iran, iaitu negara ketiga terbesar penularan COVID-19 selain China.

Seramai 3,155 mangsa dilaporkan maut susulan COVID-19 di seluruh dunia dengan China kini merekodkan sebanyak 2,943 kes kematian, manakala Itali (79) dan Iran (77).

Iraq adalah negara pengeksport terbesar dan destinasi popular bagi penganut Kristian warga Iran yang sering berkunjung ke kota suci Najaf dan Karbala, selain kebanyakan rakyatnya menyeberangi sempadan bagi aktiviti perniagaan, pelancongan, perubatan dan kajian agama.

Pihak berkuasa Iraq sudah menutup laluan sempadan ke Iran dan melarang kemasukan pelancong dari mana-mana negara yang terjejas teruk dengan COVID-19.

Sekolah, universiti, pawagam, kafe dan pelbagai lokasi umum di Iraq sudah diarah tutup hingga Sabtu ini atau suatu tempoh ditetapkan kemudian bagi membendung penularan COVID-19. Bagaimanapun, kebanyakannya masih beroperasi seperti sedia ada.

Mengulas kematian terbabit, Gabenor Sulaimaniyah, Haval Abu Bakr, memaklumkan semua acara umum akan dibatalkan dengan perlawanan bola sepak perlu diadakan secara tertutup.

Pihak berkuasa keagamaan tempatan perlu melarang upacara sembahyang secara beramai-ramai, termasuk pada Jumaat, hingga notis yang akan diumumkan kemudian.

COVID-19 menyebabkan panik dalam kalangan warga Iraq yang mendakwa sistem kesihatan negara gagal membendung penularan wabak itu.

Kebanyakan hospital di Iraq tidak dilengkapi kemudahan mencukupi atau rosak. Berdasarkan Perubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kurang daripada 10 doktor diperlukan bagi setiap 10,000 pesakit. - AFP

Berita Harian X