Rabu, 11 March 2020 | 12:48pm
Orang yang memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus COVID-19, berjalan kaki di jalan di Beijing. - Foto AFP
Orang yang memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus COVID-19, berjalan kaki di jalan di Beijing. - Foto AFP

COVID-19: China lapor 22 kematian baharu, kes import meningkat

BEIJING: China hari ini melaporkan peningkatan dalam kes COVID-19 yang diimport, membangkitkan kebimbangan bahawa jangkitan dari luar negara boleh menjejaskan kemajuan dalam menghentikan penyebaran virus itu.

Terdapat 22 lagi kematian dan 24 kes baharu di seluruh negara, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara.

China telah mencatat kemajuan besar dalam memerangi virus itu, menyebabkan Presiden Xi Jinping semalam melawat Wuhan, bandar yang menjadi pusat penularan wabak global itu, dan mengisytiharkan bahawa ia "pada dasarnya telah membendung" penyebaran penyakit itu.

Jumlah kes baharu telah menurun secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini tetapi jumlah hari ini adalah sedikit meningkat dari hari sebelumnya disebabkan peningkatan kes import.

Sebanyak 10 kes baharu datang dari luar negara - kebanyakannya dari Itali, negara yang paling teruk terjejas di luar China.

Enam daripada kes yang diimport berada di Beijing, yang menguatkuasakan kuarantin selama 14 hari untuk mereka yang tiba dari negara-negara yang dianggap berisiko tinggi, termasuk Itali, Iran, Korea Selatan dan Jepun.

Kini terdapat 79 kes import dari luar negara.

Bagaimanapun, China telah mencapai kemajuan yang ketara dalam membendung jangkitan dalam negara.

Kes baharu di Wuhan jatuh ke tahap rendah baharu, dengan 13 jangkitan yang dilaporkan hari ini, manakala hanya satu kes bukan import lain yang dicatatkan di tempat lain di negara itu.

Wuhan dan wilayah sekitarnya, Hubei, telah dikuarantin sejak akhir Januari dalam satu usaha yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang menghalang 56 juta orang daripada memasuki bahagian lain di China.

Namun, dengan Hubei melaporkan kes sifar di luar Wuhan selama beberapa hari berturut-turut, wilayah itu semalam mengumumkan bahawa ia akan membenarkan orang yang sihat di kawasan berisiko rendah untuk mengembara di wilayah itu.

Virus itu telah menjangkiti hampir 81,000 orang di China setakat ini, dengan majoriti besar sudah pulih.

Jumlah keseluruhan kematian di China meningkat kepada 3,158 hari ini. - AFP

Berita Harian X