Khamis, 12 March 2020 | 4:55pm
China melaporkan lapan kes baharu COVID-19 di wilayah Hubei, semalam. - Foto AFP
China melaporkan lapan kes baharu COVID-19 di wilayah Hubei, semalam. - Foto AFP

COVID-19: Penularan menurun ketara di China

BEIJING: China melaporkan lapan kes baharu COVID-19 di wilayah Hubei, semalam, yang menyaksikan kali pertama pusat tercetusnya pandemik itu merekodkan bilangan jangkitan dengan angka tunggal.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, hari ini, semua kes baharu terbabit dilaporkan di Wuhan yang juga ibu kota Hubei.

Pada masa sama, semakin banyak perniagaan kembali beroperasi dengan pihak berkuasa tempatan berhati-hati melonggarkan langkah ketat yang dilaksanakan sebelum ini bagi mengekang virus berkenaan daripada merebak.

Dengan tahap penularan yang berterusan perlahan, Hubei hari ini mengumumkan pelonggaran sekatan perjalanan dan akan turut membenarkan beberapa industri untuk kembali beroperasi di dua bandar serta dua daerah di wilayah itu.

Walaupun virus itu sedang merebak pantas ke seluruh dunia, penularannya menurun dengan ketara di China sejak tujuh hari lalu hasil pelaksanaan langkah ketat untuk mengawal pergerakan manusia dan trafik, termasuk perintah berkurung di Wuhan yang mempunyai 11 juta penduduk.

Sementara itu, tujuh jangkitan baharu direkodkan di luar Hubei, termasuk enam kes import dari luar negara membabitkan tiga di Guangdong, Gansu (dua) dan Henan (satu).

Secara keseluruhan, 15 kes baharu disahkan di tanah besar China, semalam, menurun berbanding 24 pada hari sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah kes disahkan di tanah besar China mencecah 80,793 dan setakat Selasa lalu, hampir 80 peratus atau 62,793 pesakit telah sembuh serta keluar dari hospital.

Setakat semalam, COVID-19 telah meragut 3,169 nyawa di China, meningkat 11 kes berbanding hari sebelumnya dengan 10 daripada kematian itu dilaporkan di Hubei, termasuk tujuh di Wuhan. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X