Jumaat, 20 March 2020 | 7:34am
Raja Salman merayu kepada rakyatnya untuk bekerjasama dan meneruskan usaha membendung penularan wabak COVID-19. - Foto AFP
Raja Salman merayu kepada rakyatnya untuk bekerjasama dan meneruskan usaha membendung penularan wabak COVID-19. - Foto AFP

Raja Salman rayu rakyat bekerjasama bendung COVID-19

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud merayu kepada rakyatnya untuk bekerjasama dan meneruskan usaha membendung penularan wabak COVID-19, di negara itu.

Ia adalah kemunculan pertama baginda di khalayak ramai sejak negara itu dilanda jangkitan COVID-19.

Menerusi ucapan berdurasi lima minit itu, Raja Salman menggesa rakyat untuk bersatu dan bekerjasama bagi mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kita berada dalam tempoh sukar dalam sejarah dunia, namun kita sedar bahawa perkara ini akan berlalu walaupun ianya terlalu pahit, sukar dan kejam,” katanya dalam perutusan khas mengenai COVID-19 kepada rakyat negara itu.

Sehingga kini, Arab Saudi merekodkan sebanyak 36 jangkitan baharu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kepada 274 tanpa sebarang rekod kematian.

Sebelum ini, negara itu turut mengambil langkah drastik untuk membendung penularan termasuk menghalang kemasukan penerbangan antarabangsa, menggantung ibadah Umrah, menutup masjid serta sekolah, selain meminta orang ramai untuk tidak keluar bekerja.

Negara pengeksport terbesar minyak itu juga turut menyediakan pakej 50 bilion Riyal bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana dan memotong peruntukan negara sebanyak lima peratus.

Jangkitan COVID-19 di Teluk Parsi kini mencecah 1,300 kes dengan satu kematian dilaporkan di Bahrain.

Kebanyakan kes dikaitkan dengan perjalanan ke Iran, yang adalah pusat penularan di Timur Tengah dengan 1,284 kematian dan jangkitan melebihi 18,000 kes. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X