Jumaat, 20 March 2020 | 10:05pm
Warga Iran masih keluar membeli belah di Tajrish Bazaar, Tehran bagi persediaan menyambut Nowruz atau tahun Baharu Parsi walaupun negara itu antara yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19. - Foto AFP
Warga Iran masih keluar membeli belah di Tajrish Bazaar, Tehran bagi persediaan menyambut Nowruz atau tahun Baharu Parsi walaupun negara itu antara yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19. - Foto AFP

COVID-19: Kematian Iran meningkat

TEHRAN: Iran hari ini mengesahkan 149 lagi kematian, menjadikan angka korban keseluruhan COVID-19 di negara ini kepada 1,433 kes.

Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Alireza Raisi, berkata 1,237 lagi kes baharu COVID-19 disahkan 24 jam lalu dengan 19,644 warganya dijangkiti, sekali gus menjadikan Iran antara negara paling teruk terjejas.

Angka jangkitan COVID-19 meningkat disebabkan warga Iran mengunjungi sanak saudara bagi meraikan Nowruz iaitu Tahun Baharu Parsi.

Dalam tempoh dua minggu sambutan, kebiasaannya jalan raya di sekitar Iran padat dengan penduduk yang melawat keluarga masing-masing.

Pihak berkuasa turut menggesa masyarakat awam mengelak melawat keluarga atau keluar dari rumah masing-masing memandangkan penyebaran wabak COVID-19 semakin meningkat.

Bagaimanapun, stesen televisyen Iran melaporkan ratusan kenderaan keluar dari Tehran sejak petang Khamis lalu.

Sebagai langkah keselamatan, alat pengesan bagi memeriksa suhu badan pengguna jalan raya turut dipasang di laluan tol, namun masih belum ada arahan perintah berkurung dikeluarkan setakat ini.

Raisi mempertahankan tindakan Iran yang masih tidak mengeluarkan arahan lebih tegas bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, pos pemeriksaan sudah disediakan di semua bandar besar untuk mengesan kes disyaki dan mereka yang disahkan positif COVID-19 diarahkan menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Dua pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Presidennya, Hassan Rouhani, hari ini berjanji Iran mampu menangani krisis yang menjejaskan hampir seluruh dunia itu.

Namun, pelbagai pihak mengkritik Iran kerana tidak melaksana langkah kawalan lebih drastik, sebagaimana dilaksanakan pihak polis di negara kritikal COVID-19 seperti Perancis dan Itali, yang mengisytihar larangan perjalanan atau perintah berkurung. - AFP

Berita Harian X