Selasa, 24 March 2020 | 12:23am
Ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di barat laut Syria akan dijalankan dalam beberapa hari lagi. - Foto AFP
Ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di barat laut Syria akan dijalankan dalam beberapa hari lagi. - Foto AFP

COVID-19: Saringan ke atas penduduk Idlib Rabu ini

BEIRUT: Ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di barat laut Syria akan dijalankan dalam beberapa hari lagi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ujian itu dilakukan di tengah-tengah kebimbangan seandainya pandemik itu menjadi bencana terhadap penduduk yang mendiami kem yang penuh sesak.

Jurucakap WHO, Hedinn Halldorsson, berkata, ujian akan dilakukan di Idlib dalam masa dua hari lagi.

"Sebanyak 300 kit ujian diagnostik akan dihantar ke makmal terletak di bandar Idlib pada Rabu ini.

"Ujian saringan akan bermula sejurus selepas itu," katanya.

Mengulas lanjut, Halldorsson berkata, tambahan 2,000 kit ujian akan dihantar secepat mungkin.

Bandar Idlib adalah wilayah di Syria yang belum merekodkan kes jangkitan COVID-19.

Seramai tiga juta orang terperangkap di bandar itu akibat pemberontakan. Bagaimanapun pemberontakan itu berakhir setelah ditumpaskan tentera kerajaan.

Sementara itu, juruteknik di Idlib sudah dilatih untuk menggunakan kit ujian berkenaan dan beberapa makmal berdekatan sempadan Syria-Turki bersedia jika diperlukan.

Seorang jurucakap WHO memberitahu, tiga hospital sudah diubah suai untuk dilengkapi dengan unit rawatan rapi (ICU), unit isolasi dan ventilator.

Hampir 1,000 pekerja kesihatan penjagaan digerakkan dan peralatan perlindungan termasuk 10,000 topeng pembedahan dan 500 topeng respirator bakal tiba beberapa minggu lagi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X