Rabu, 25 March 2020 | 4:10pm

COVID-19: Sidang kemuncak maya kecemasan G20 bincang tindak balas global

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman, akan mempengerusikan sebuah sidang kemuncak maya kecemasan membabitkan pemimpin 20 negara ekonomi utama (G20), esok, untuk membincangkan tindak balas global terhadap pandemik COVID-19.

Pemimpin dunia, termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin, akan mengambil bahagian dalam perbincangan itu yang menurut Kremlin, bakal berlangsung menerusi persidangan video.

“Raja Salman akan mempengerusikan mesyuarat itu untuk meningkatkan tindak balas global yang diselaraskan terhadap pandemik COVID-19 dan implikasinya terhadap manusia serta ekonomi,” menurut satu kenyataan dikeluarkan Riyadh, hari ini.

Minggu lalu, Arab Saudi yang kini mempengerusikan G20, menyeru ‘sidang kemuncak maya’ diadakan susulan kritikan bahawa kumpulan itu bertindak perlahan dalam menangani krisis global berkenaan.

Anggota G20 berkenaan akan disertai pemimpin negara lain yang turut terjejas, antara lain Sepanyol, Jordan, Singapura dan Switzerland.

Pemimpin daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), juga akan mengambil bahagian.

Malah, Perancis serta China semalam menyokong idea itu ketika angka korban COVID-19 di seluruh dunia melonjak kepada hampir 16,000 dan lebih 1.7 bilion penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah.

Pengumuman mengenai sidang kemuncak itu seiring peningkatan kebimbangan bahawa ekonomi dunia bakal terjunam ke dalam kemelesetan akibat pandemik terbabit, yang bermakna ekonomi akan menguncup sekurang-kurang dua suku tahunan berturut-turut.

Arab Saudi turut merekodkan 767 jangkitan COVID-19, iaitu angka tertinggi di negara Teluk, dan menghadapi tamparan berganda apabila penularan virus berkenaan menyebabkan harga minyak merudum.

Arab Saudi bersedia untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak membabitkan pemimpin dunia di Riyadh dari 21 hingga 22 November depan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X