Khamis, 26 March 2020 | 2:00pm
Seorang lelaki memakai topeng berjalan di hadapan poster Raja Salman di Riyadh, Arab Saudi yang melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - FOTO REUTERS
Seorang lelaki memakai topeng berjalan di hadapan poster Raja Salman di Riyadh, Arab Saudi yang melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - FOTO REUTERS

COVID-19: Arab Saudi catat kematian kedua, perketat perintah berkurung

RIYADH: Arab Saudi melaporkan kematian kedua akibat wabak COVID-19, sekali gus memperketatkan perintah berkurung di seluruh negara, semalam.

Langkah itu menyaksikan sekatan terhadap perjalanan masuk dan keluar dari Riyadh, Tanah Suci Makkah serta Madinah, selain pergerakan antara semua wilayah di negara ini.

Menurut perintah itu yang diluluskan oleh Raja Salman dan disiarkan media Arab Saudi, waktu berkurung turut diawalkan daripada 7 malam kepada 3 petang, bermula hari ini.

Arab Saudi melaksanakan perintah berkurung sejak Isnin lalu, setakat ini untuk tempoh selama 21 hari, selepas merekodkan peningkatan kes jangkitan.

Korban kedua membabitkan seorang penduduk asing berusia 46 tahun di Makkah, iaitu satu daripada 133 kes baharu yang menjadikan jumlah jangkitan di Arab Saudi kini mencecah 900 mangsa.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mempunyai enam negara anggota setakat ini mencatatkan 2,472 kes dengan tujuh kematian meliputi 85 jangkitan baharu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman (15) dan Kuwait (empat).

Arab Saudi telah menghentikan penerbangan antarabangsa serta menggantung sementara visa umrah, selain menutup masjid, sekolah, pasar raya dan restoran yang memberi kesan terhadap kehidupan harian kira-kira 30 juta penduduknya.

Pihak berkuasa memberi amaran, sesiapa yang melanggar sekatan itu akan dihukum penjara atau denda. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X