Jumaat, 27 March 2020 | 8:15am

COVID-19: Afghanistan bebaskan sehingga 10,000 tahanan

KABUL: Afghanistan mengarahkan pembebasan sehingga 10,000 tahanan yang kebanyakannya wanita, remaja dan orang sakit dalam usaha memperlahankan penyebaran COVID-19.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan rakyat tempatan dan puluhan ribu warga Afghanistan yang kembali dari Iran, antara negara yang paling teruk berdepan dengan pandemik itu.

Keputusan Presiden Ashraf Ghani itu terpakai kepada banduan dalam kalangan wanita, pesalah muda, pesakit kritikal dan banduan berusia lebih 55 tahun, kata Peguam Negara, Farid Hamidi.

"Ini adalah keputusan yang bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan rakyat," Hamidi memberitahu pada sidang media.

“Bagaimanapun keputusan itu tidak terpakai kepada mereka yang melakukan jenayah terhadap keselamatan negara dan antarabangsa."

Ketua penjara, Ahmad Rashed Totakhail berkata, antara 9,000 hingga 10,000 banduan akan dibebaskan dalam tempoh 10 hari.

Ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet mendesak negara untuk melindungi orang yang ditahan di penjara yang penuh sesak dan dengan melepaskan tahanan sambil menyifatkan penjara antara lokasi penyebaran kritikal wabak itu.

Sudan dan Ethiopia baru-baru ini mengarahkan pembebasan ribuan tahanan dalam usaha untuk melambatkan wabak.

Afghanistan secara rasmi mencatatkan dua kematian dan 80 kes COVID-19, tetapi angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X