Ahad, 29 March 2020 | 9:19pm
Taiwan setakat ini merekodkan dua kematian akibat COVID-19. - Foto Agensi
Taiwan setakat ini merekodkan dua kematian akibat COVID-19. - Foto Agensi

COVID-19: WHO pantau rapi perkembangan Taiwan

TAIPEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau dengan dekat perkembangan COVID-19 di Taiwan dan meneliti cara negara itu memerangi virus berkenaan, selepas mereka mendakwa tidak dihiraukan di peringkat antarabangsa.

Taiwan bukan sebahagian daripada negara anggota WHO berikutan bantahan daripada China, yang mendakwa kepulauan demokratik itu sebagai milik mereka.

Kerajaan Taiwan sebelum ini mendakwa, terpinggir daripada perhatian WHO ketika pandemik berkenaan sama seperti menggunakan politik untuk memperjudikan nyawa penduduk mereka.

Baik WHO dan China kedua-duanya berkata Taiwan menerima segala bentuk bantuan yang diperlukan.

Taiwan minggu lalu berkata, WHO tidak menghiraukan sebarang pertanyaan diajukan ketika penyebaran COVID-19 mula dikesan, iaitu sebahagian daripada apa yang disifatkan sebagai corak mendedahkan mereka kepada risiko, berikutan tekanan China untuk kepulauan itu dikeluarkan dari menganggotai WHO.

Taiwan setakat ini mencatatkan 298 kes, jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran, dan meraih pujian daripada pakar kesihatan berikutan pendekatan serta reaksi pantas mereka dalam menangani pandemilk terbabit.

Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu, semalam menerusi satu ciapan di Twitter membuat aduan kepada WHO, susulan wawancara Penolong Ketua Pengarah WHO, Bruce Aylward bersama wartawan Hong Kong.

Beliau ketika wawancara itu enggan menjawab soalan mengenai Taiwan, khususnya apabila ditanya jika kepulauan berkenaan wajar terbabit sebagai anggota WHO.

“Wow, langsung tidak boleh menyebut perkataan “Taiwan” dalam WHO? Anda seharusnya mengenepikan aspek politik ketika menangani isu berkaitan pandemik ini,” kata Wu. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X