Selasa, 31 March 2020 | 9:33am
Ahli Bulan Sabit Merah Iran memeriksa suhu penumpang di sekatan lebuh raya dekat Tehran ketika COVID-19 semakin menular di negara itu. Foto AFP
Ahli Bulan Sabit Merah Iran memeriksa suhu penumpang di sekatan lebuh raya dekat Tehran ketika COVID-19 semakin menular di negara itu. Foto AFP

COVID-19: 40,000 dijangkiti di Iran

TEHRAN: Jumlah penduduk di Iran yang didapati positif COVID-19 meningkat kepada 40,000 kes semalam dengan kerajaan mengeluarkan amaran wabak itu mungkin akan berlanjutan beberapa bulan lagi dan boleh menjangkiti 10,000 lagi penduduk.

Presiden Iran, Hassan Rouhani turut menerima tempias daripada peningkatan kes COVID-19 di negara itu dengan munculnya pelbagai dakwaan oleh beberapa pemimpin politik pembangkang yang menyifatkan beliau gagal mengambil tindakan serta merta bagi menangani wabak berkenaan.

Perkara itu diperkatakan serentak dengan laporan dikeluarkan oleh jawatankusa anti-coronavirus yang menyifatkan Iran berdepan kesukaran untuk menangani wabak berkenaan, sekurang-kurangnya sehingga awal musim panas nanti.

Laporan itu oleh jawatankuasa itu turut dimuat naik oleh wartawan Iran, Parviz Karami di Instagram yang menyebut 11,000 penduduk mungkin terkorban disebabkan ‘campur tangan sederhana kerajaan’ dan ia termasuk pendekatan sedia ada yang dilaksanakan.

Menurut Parviz, jangkaan bagi kes kematian boleh dikurangkan kepada 7,700 sekiranya campur tangan ‘maksimum’ termasuk perintah berkurung dalam bandar dan penguatkuasaan kuarantin dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour, semalam, berkata 117 individu lagi disahkan meninggal dunia akibat COVID-19 bagi tempoh 24 jam yang lalu.

Selain itu, turut direkodkan pertambahan kes baharu sebanyak 3,186 menjadikan keseluruhan rakyat Iran yang dijangkiti COVID-19 kepada 41,000 orang.

Angka korban setakat ini sudah mencecah 2,757 orang.

Menurut Jahanpour, 13,911 pesakit yang dirawat di hospital sudah pulih sepenuhnya, manakala 3,511 masih berada dalam keadaan kritikal. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X