Selasa, 31 March 2020 | 9:48pm
Beberapa lelaki memakai topeng muka menaiki bas yang disediakan khas bagi membawa mereka ke pusat kuarantin berikutan penularan COVID-19 di kawasan Nizamuddin, New Delhi. - Foto AFP
Beberapa lelaki memakai topeng muka menaiki bas yang disediakan khas bagi membawa mereka ke pusat kuarantin berikutan penularan COVID-19 di kawasan Nizamuddin, New Delhi. - Foto AFP

COVID-19: India tutup ibu pejabat tabligh elak penularan

NEW DELHI: India menutup ibu pejabat kumpulan tabligh semalam dan mengarahkan siasatan terhadap pertubuhan didakwa mengadakan perhimpunan dikhuatiri mengakibatkan ramai dijangkiti COVID-19.

Media difahamkan ada jemaah tabligh dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Nepal, Myanmar, Kyrgyzstan dan Arab Saudi yang berkunjung ke pusat tabligh berkenaan.

Setakat ini India merekodkan 1,251 kes dan 31 kematian akibat COVID-19, yang disifatkan masih kecil berbanding Amerika Syarikat (AS), Itali dan Sepanyol.

Namun, pegawai kesihatan khuatir negara dengan penduduk kedua paling ramai di dunia itu akan menghadapi krisis teruk disebabkan kelemahan sistem kesihatan awam.

New Delhi menjadi lokasi panas virus apabila mencatatkan puluhan kes positif dan tujuh kematian, kebanyakannya di kawasan masyarakat Islam yang turut menjadi markas gerakan Tablighi Jamaat berusia 100 tahun.

Pihak berkuasa berkata, orang ramai terus melawat bangunan lima tingkat pusat tabligh itu yang terletak di kawasan kejiranan sempit, dan masih mengadakan sesi khutbah meskipun kerajaan sudah mengarahkan penjarakan sosial.

Beratus-ratus orang dilaporkan masih bersesak-sesak memasuki bangunan itu, sekali gus mendorong pihak berkuasa pada hujung minggu lalu mengarahkan mereka menjalani ujian.

Sehingga hari ini, banyak bas tiba untuk membawa orang ramai ke pusat kuarantin yang terletak di bandar berhampiran sebelum menjalani ujian.

Pegawai pentadbiran bandar, dalam satu kenyataan, berkata mereka tidak mematuhi penjarakan sosial dan protokol kuarantin tidak dipraktikkan langsung.

“Pentadbir melanggar perintah hinggakan mengakibatkan beberapa orang didapati positif COVID-19.

“Kecuaian mematuhi peraturan ini menyebabkan ramai orang akan berada dalam bahaya, ini satu perbuatan jenayah,” kata

Pihak berkuasa kini ini sedang menjejaki pergerakan jemaah tabligh terbabit selepas mereka mengadakan pertemuan di New Delhi selain mengesan kontak rapat yang terdedah kepada mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media di Kuala Lumpur, berkata pihaknya turut menyiasat kehadiran jemaah dari Malaysia yang dipercayai menyertai perhimpunan di New Delhi.

“Wujud risiko penularan yang tinggi jika ada antara mereka menyertai perhimpunan di New Delhi,” katanya.

Seorang pentadbir pusat tabligh di New Delhi, Musharraf Ali, berkata pihaknya mendapatkan bantuan polis dan pentadbiran negeri bagi mengesan peserta yang hadir, namun perintah berkurung sekarang menyukarkan proses mengesan mereka.

“Dengan keadaan tidak menentu, kita tiada pilihan tetapi mengawasi jemaah asing yang terkandas serta mengambil langkah perubatan hingga keadaan lebih kondusif menghantar mereka pulang," katanya.

Bulan lalu, di Pakistan, kerajaan menangguhkan himpunan jemaah itu di pinggir kota Lahore , namun masih terdapat kira-kira 1,100 orang yang didapati masih berada di sana.

Menteri Kesihatan Wilayah Punjab di Pakistan, Yasmin Rashid, memberitahu Geo TV minggu ini bahawa sekurang-kurangnya 27 daripada mereka positif bagi COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X