Khamis, 2 April 2020 | 7:34pm
Pegawai polis memakai topi keledar dan membawa perisai serta belantan bertemakan coronavirus ketika melakukan rondaan di Chennai, India bagi memupuk kesedaran umum terhadap bahaya COVID-19. Foto AFP
Pegawai polis memakai topi keledar dan membawa perisai serta belantan bertemakan coronavirus ketika melakukan rondaan di Chennai, India bagi memupuk kesedaran umum terhadap bahaya COVID-19. Foto AFP

COVID-19: 9,000 jemaah tabligh terdedah di kluster Delhi dicari

NEW DELHI: Waga Bangladesh, Indonesia dan Malaysia dikenal pasti antara 2,300 orang bersesak dalam sebuah markas tabligh, yang terpaksa dipindahkan ke pusat kuarantin beberapa hari lalu.

Hari ini, India melaporkan pihak berkuasa sedang berusaha keras mengesan lebih 9,000 orang yang menghadiri program perhimpunan tabligh di sini bulan lalu.

Seorang pemimpin di markas Tabligh-e-Jamaat di Nizamuddin Barat, Maulana Saad Kandhalvi, mengeluarkan mesej audio mengarahkan semua peserta bekerjasama dalam program saringan itu.

"Kita perlu mengambil tindakan berhati-hati, ikut arahan doktor dan beri sokongan penuh kepada kerajaan seperti tidak berhimpun. Ia tidak berlawanan dengan ajaran Islam," katanya.

Semalam, jumlah yang dikesan dijangkiti meningkat kepada 1,965 orang, terdiri daripada mereka yang menghadiri solat dan kuliah di Tablighi-e-Jamaat.

Pegawai kerajaan negara itu juga berkata, kira-kira 9,000 orang dikaitkan dengan kluster Delhi dengan 2,00 daripada mereka dikenal pasti pengikut Tabligh dan selebihnya kontak pertama.

"Ini tahap kritikal untuk menentang coronavirus dan kami meminta semua pihak untuk tampil supaya mereka ini boleh dikuarantin," kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali.

Kumpulan terbabit ketika ini tidak boleh meninggalkan India berikutan perintah berkurung diisytiharkan bermula 24 Mac lalu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengarahkan perintah berkurung selama tiga minggu sehingga pertengahan April dan ketika ini, peningkatan koronavirus memuncak seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), Itali dan Sepanyol.

Semalam, seramai 50 orang maut dan wujud kebimbangan lebih ramai akan menerima nasib sama berikutan rakyat India berjumlah lebih 1.3 bilion. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X