Ahad, 5 April 2020 | 11:30pm
Lapan warganegara Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi, hari ini.
Lapan warganegara Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi, hari ini.

8 warga Malaysia ditahan di India sebelum naiki pesawat khas

NEW DELHI: Lapan warganegara Malaysia yang akan menaiki pesawat khas ke Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi, hari ini.

  

NDTV melaporkan, sumber berkata, mereka adalah sebahagian daripada peserta yang menghadiri perhimpunan Pusat Tablighi Jamaat di Nizamuddin, yang telah ditandakan sebagai titik panas bagi penyebaran COVID-19.

Walaupun penerbangan antarabangsa tidak beroperasi, penerbangan khas sedang dikendalikan oleh sesetengah negara untuk membawa pulang warga negara mereka yang terkandas di negara berkenaan.

Satu pertiga daripada kes COVID-19 di India - lebih daripada 1,000 - dikaitkan dengan perhimpunan agama bulan lalu yang dihoskan oleh Tablighi Jamaat walaupun mesej pemerintah supaya melaksanakan penjarakan sosial.

Kebanyakan daripada kira-kira 9,000 orang yang menghadiri acara itu kemudiannya bergerak ke pelbagai bahagian negara itu, yang membawa kepada peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.

Seramai lapan rakyat Malaysia, yang menghadiri acara bulan lalu, bersembunyi di tempat berbeza di Delhi dan berhasrat mengambil penerbangan bantuan Malindo Air untuk pulang ke Malaysia, menurut sumber.

  

Tertangkap oleh jabatan imigresen di lapangan terbang, mereka akan diserahkan kepada Polis Delhi dan Jabatan Kesihatan untuk siasatan lanjut.

  

Perkara itu berlaku ketika Polis Delhi telah mula mengesan data telefon bimbit untuk mengesan mereka yang berada di acara Delhi atau di sekitarnya.

  

Acara Tablighi Jamaat itu dihadiri rakyat beberapa negara asing, yang menurut pihak berkuasa, menyalahgunakan visa pelancong mereka dengan mengambil bahagian dalam acara agama.

  

Kementerian Dalam Negeri telah berjanji untuk mengambil tindakan.

  

"Kementerian Dalam Negeri telah menyenaraihitamkan 960 warga asing dan visa India mereka juga telah dibatalkan kerana terbabit dalam kegiatan Tablighi Jamaat ketika datang menggunakan visa pelancong," kata pejabat Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, dalam ciapan dalam bahasa di Hindi awal minggu ini.

  

Seorang pegawai memberitahu NDTV bahawa prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap peserta Tablighi Jamaat yang disenaraihitamkan di bawah Seksyen 14 Akta Warga Asing, yang membabitkan penyalahgunaan visa.

  

Kementerian Dalam Negeri juga telah memerintahkan tindakan di bawah Akta Pengurusan Bencana. - NDTV

Berita Harian X