X
Selasa, 7 April 2020 | 4:01pm
Gambar fail menunjukkan pemilik kedai haiwan peliharaan di Karachi bersedia untuk mematuhi perintah berkurung akibat COVID-19. Ratusan haiwan berkenaan ditemui mati akibat sesak nafas atau kebuluran. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pemilik kedai haiwan peliharaan di Karachi bersedia untuk mematuhi perintah berkurung akibat COVID-19. Ratusan haiwan berkenaan ditemui mati akibat sesak nafas atau kebuluran. - Foto AFP

Ratusan haiwan peliharaan mati kebuluran angkara COVID-19

KARACHI: Beratus-ratus kucing, anjing dan arnab ditemui mati dalam kurungan selepas ditinggalkan begitu saja apabila perintah berkurung dilaksanakan di Pakistan.

Haiwan yang masih hidup di Pasar Empress itu berjaya diselamatkan selepas seorang aktivis membuat permohonan kepada pihak berkuasa untuk masuk ke situ.

Ayesha Chundrigar berkata beliau mendengar teriakan haiwan itu dari luar sebuah premis ketika dua minggu perintah berkurung dilakukan. Kedai itu menempatkan sekurang-kurangnya 1,000 haiwan peliharaan.

"Apabila kami masuk ke dalam, kebanyakannya sudah mati iaitu hampir 70 peratus, yang dibiarkan berselerakan di lantai.

"Saya tidak dapat menggambarkan betapa sangat teruknya keadaan itu," katanya yang juga pengasas ACF Animal Rescue, kepada AFP.

Berikutan dilanda pandemik coronavirus, bandar utama di Pakistan diletakkan di bawah perintah berkurung, sekali gus memaksa banyak kedai ditutup kecuali kedai penting yang menyediakan makanan atau ubat-ubatan.

Pemilik kedai haiwan peliharaan dilarang meneruskan perniagaan mereka, sehingga ada yang terpaksa mencuri masuk untuk memberi makan kepada haiwan itu.

Chundrigar berkata, kerja menyelamat itu mampu meyakinkan pihak berkuasa Karachi untuk memberi kebenaran kepada pemilik kedai haiwan mengakses perniagaan mereka.

Sementara itu, kedai haiwan peliharaan di Lahore turut menerima nasib sama dengan 20 bangkai anjing ditemui dalam longkang kumbahan berhampiran Pasar Tolinton.

Seorang lagi aktivis, Kiran Maheen, berjaya menyelamatkan berpuluh-puluh ekor anjing, arnab dan kucing apabila berjaya meyakinkan pihak berkuasa, tetapi sebahagian besarnya sudah mati.

"Apabila polis membuka tempat perlindungan itu, banyak haiwan sudah mati, kebanyakannya akibat sesak nafas dan kebuluran" kata Maheen kepada AFP.

Ketika ini, pihak berkuasa Pakistan mengesahkan 2,900 kes jangkitan COVID-19 dengan 45 kematian, namun jumlah sebenar dikhuatiri mungkin lebih tinggi berikutan pelbagai kekurangan sektor kesihatan negara dengan 215 juta penduduk itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X