Jumaat, 24 April 2020 | 10:07am
Gambar fail G20. - FOTO AFP
Gambar fail G20. - FOTO AFP

COVID-19: G20 ikrar dukung pasaran buruh yang terjejas teruk

RIYADH: Menteri-menteri Buruh dan Pekerjaan daripada Kumpulan 20 (G20) berikrar untuk mendukung pasaran buruh yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"Kita tidak boleh membenarkan COVID-19 untuk meluaskan lagi ketidakseimbangan, termasuk ketidakseimbangan gender, dalam pasaran buruh serta menjejaskan kemajuan yang telah dicapai.

"Negara kami akan terus meneroka cara bagi menyokong perniagaan serta majikan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana, agar mampu mengekalkan pekerjaan serta menyokong pekerja yang terkesan sepanjang tempoh mencabar kini.

"Langkah akan dibangunkan mengikut keadaan negara dan mungkin termasuk pindahan tunai, kredit cukai, geran, pinjaman serta subsidi upah," kata menteri-menteri terbabit selepas satu mesyuarat maya yang dipengerusikan Arab Saudi selaku Presiden G20 ketika ini.

Selasa lalu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), memberi amaran bahawa krisis COVID-19 menjejaskan ekonomi dengan 'kesan amat buruk' terhadap pekerja serta majikan membabitkan 'kehilangan besar-besaran' pekerjaan dan pengeluaran merentasi semua sektor.

"Dunia pekerjaan sedang berdepan krisis global terburuk sejak Perang Dunia II.

"Impak terhadap ekonomi akibat pandemik itu berkemungkinan amat teruk dan berlanjutan," kata Pengarah Dasar Sektor ILO, Alette van Leur.

Namun, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Geneva itu, dalam sebarang tindakan menarik balik perintah berkurung, mereka yang kembali bekerja harus mempunyai langkah perlindungan betul bagi mencegah pandemik COVID-19 daripada berulang semula. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X